Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, May 17, 2010

System Di Malaysia - Orang maju ke depan, kita ke belakang

Oleh - Abdul Aziz Bari

Sri Perdana, Putrajaya

Dua minggu lalu kita menyaksikan pilihan raya umum Britain yang berakhir dengan kemenangan tipis Parti Konservatif. Kegagalan mendapat majoriti jelas itu memaksa parti berkenaan menubuhkan kerajaan campuran dengan Parti Liberal Demokrat. Dan ini berlaku setelah Parti Buruh yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Gordon Brown mengaku kalah dan memberi laluan kepada kedua-dua parti berkenaan membentuk kerajaan.

Apa yang berlaku pada hari Selasa itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku pada 1997 apabila John Major yang memimpin Parti Konservatif ketika itu terus mengosongkan kediaman dan pejabat Perdana Menteri di No.10 Downing Street setelah Parti Buruh, yang ketika itu dipimpin oleh Tony Blair, menang besar dalam pilihan raya umum.

Apa yang penting di sini ialah betapa ahli-ahli politik Britain begitu patuh dan komited dengan etika perlembagaan mereka. Tiada yang cuba mengelat. Atau menyeret istana dan mahkamah – yang kelihatannya dua kali lima – sebagaimana ahli-ahli politik di negara-negara yang satu ketika dahulu mereka perintah.

Saya sengaja menyinggung apa yang berlaku di United Kingdom itu kerana ia adalah negara asal dan masih merupakan model sistem Westminster yang kita amalkan. Mengapa perubahan kuasa yang licin dan beradab itu tidak berlaku di negara kita? Kita akan berasa lebih takjub lagi jika kita ambil kira bahawa Britain tidak mempunyai perlembagaan bertulis sebagaimana kita di sini. Sebenarnya 14 perlembagaan – yakni Perlembagaan Persekutuan dan 13 perlembagaan negeri yang lain – yang kita ada ini adalah pengkanunan prinsip-prinsip yang dipanggil sebagai amalan atau konvensyen di United Kingdom.

Sebagaimana yang dikatakan tadi sesuatu yang hanya bersifat amalan dan konvensyen begitu dipegang dan dipatuhi di Britain sedangkan di Malaysia sesuatu yang kita akui sebagai undang-undang dilanggar dan diputarbelitkan. Perlembagaan kita itu adalah undang-undang yang tertinggi dan bukan undang-undang biasa. Perlembagaan adalah penanda aras bagi pentadbiran negara.

Kita juga terkebelakang jika kita lihat pilihan raya memilih presiden dan senator di Filipina minggu lalu. Senator Benigno Noynoy Aquino – yang merupakan anak lelaki Senator Benigno dan Cory Aquino – menang besar. Tokoh itu mewarisi perjuangan ibu bapanya yang dianggap ikon demokrasi di Filipina, khususnya dalam menjatuhkan pemerintahan diktator Ferdinand Marcos pada 1983.

Memang benar pilihan raya yang baru berakhir di Britain dan Filipina tidak sunyi dari kelemahan. Ini termasuk dakwaan tidak dapat mengundi dan penipuan, khususnya di Filipina. Tetapi ini semua tidak berlaku dalam skala yang ada di Malaysia. Dan saya rasa kelemahan mereka itu adalah perkara biasa kerana tidak ada sistem yang sempurna. Apa yang penting ialah pihak berkuasa yang berkenaan – tidak seperti SPR di negara kita – jujur dan tidak mengalami masalah kredibiliti yang teruk.

Meskipun sistem di Britian sudah bagus tetapi mereka masih terus memperbaikinya. Sebab itu mereka adakan debat terbuka sebagaimana dalam pilihan raya presiden di Amerika Syarikat walaupun pada hakikatnya pilihan raya di Britain – sebagaimana di negara-negara demokrasi berparlimen lainnya juga – memilih ahli parlimen dan tidak memilih kerajaan. Jelas mereka ada komitmen dan kesungguhan untuk mewujudkan proses pemilihan yang adil dan bermaklumat.

Saya rasa selagi Barisan Nasional berkuasa proses itu tidak akan berlaku di sini. Kita lihat bagaimana Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak enggan menyahut cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu. Kita juga masih ingat bagaimana Najib mencari jalan untuk mengelak dari berbahas dengan Anwar di Dewan Rakyat.

Selagi sikap seperti itu kita biarkan selagi itulah Malaysia akan terus ketinggalan di dalam dunia yang semakin global dan terbuka. Di negara-negara seperti Britain sikap seperti itu bukan sahaja akan membawa kepada kekalahan tetapi akan menyebabkan pemain itu tidak dibenarkan bermain!

Dalam soal ini hanya rakyat sahaja yang boleh membuat perubahan. Ini kerana institusi-institusi berkenaan jelas enggan untuk memainkan peranan: mereka lebih selesa untuk menjadi perkakas kepada pentadbiran yang ada. Inilah sebenarnya yang menyebabkan perlembagaan yang ada ini tidak bermakna.

Bandingkan dengan apa yang Baginda Ratu Elizabeth II buat ketika rundingan pembentukan kerajaan empat atau lima hari selepas keputusan pilihan raya diketahui Jumaat lalu. Dan itu bukan kali yang pertama kerana baginda juga tidak masuk campur tatkala senario yang sama berlaku pada 1974. Apa yang menarik ialah baginda tidak pernah belajar undang-undang. Dan setahu saya baginda juga tidak pernah masuk universiti, apalagi menjadi peguam atau hakim. Tapi cara baginda memainkan peranan dan kuasa di sisi perlembagaan begitu sempurna.

Ketiadaan institusi seperti itulah yang dikatakan menjadi punca mengapa sistem Westminster gagal di Afrika dan akhirnya digantikan oleh sistem berpresiden. Pada satu ketika saya tidak fikir itu akan berlaku di Malaysia. Ini kerana di Afrika ketua negara adalah orang suruhan perdana menteri. Saya masih yakin apabila Sabah dilanda krisis politik selepas pilihan raya negeri 1985. Struktur Sabah sama dengan apa yang ada di Afrika. Bagaimanapun pemecatan Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin pada Februari 2009 menyebabkan saya berfikir dan menyemak kembali teori yang saya yakini bertahun-tahun itu.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang lebih 20 tahun

Sumber : DD

0 comments: