Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, October 20, 2013

Panduan Warna Cahaya Lampu Kalimantang

Dalam pasaran domestik (untuk kegunaan rumah), terdapat tiga jenis lampu kalimantang (tidak kira jenis pendek, panjang, berbentuk bulat atau kompak) yang biasa dijual iaitu:

• Warm White
• Cool White (atau Neutral White)
• Daylight (atau Cool Daylight)

Warm While, Cool White dan Cool Daylight adalah merujuk kepada jenis warna yang dikeluarkan oleh lampu kalimantang tersebut.

Warna Warm White adalah warna putih dengan sedikit kuning atau kemerah-merahan, warna Cool White pula adalah warna putih biasa manakala warna Daylight adalah warna putih kebiru-biruan. Oleh itu, sebelum anda membeli lampu kalimantang, pastikan dulu jenis cahaya yang dikeluarkan oleh lampu tersebut.

Lampu kalimantang Warm White digunakan untuk mewujudkan persekitaran santai, sesuai digunakan di dapur, bilik tidur, bilik air atau ruang rehat. Lampu Cool White pula sesuai untuk lampu meja, perpustakaan, pejabat, ruang untuk membaca buku atau surat khabar, manakala lampu Daylight adalah untuk mewujudkan persekitaran jelas dan aktif seperti di bengkel atau ruang bekerja. Penggunaan lampu Daylight di bengkel akan meningkatkan penumpuan seseorang semasa menggunakan mesin dan peralatan pertukangan.

Terdapat satu lagi parameter penting berkaitan dengan lampu kalimantang ini iaitu Color Rendering Index (CRI - Indeks Penyebaran Warna). Indeks penyebaran warna adalah keupayaan cahaya lampu menyerlahkan warna sebenar sesuatu objek. Ia diukur dalam skala 0 hingga 100, di mana indeks 100 adalah pengecaman warna pada cahaya matahari. Sebagai contoh, sebuah objek berwarna merah dan biru, apabila disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang rendah, warna sebenar objek tersebut sukar dicam. Sebaliknya jika disinari dengan lampu yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi, maka objek tersebut dengan jelas berwarna merah dan biru.

Sekiranya anda mahu menjadikan makanan yang dihidangkan di meja makan nampak menarik dan sedap, gunakan lampu Warm White yang mempunyai indeks penyebaran yang tinggi (melebihi 80). Sebab itulah lampu jenis ini sering digunakan pada tempat hidangan makanan di restoran ataupun kedai makan. Jika anda mahu menyerlahkan warna dan kecantikan hiasan langsir dan hiasan anda di ruang tamu, gunakan lampu kalimantang Cool White yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi.

Lampu kalimantang yang mempunyai indeks penyebaran warna yang tinggi sangat sesuai dipasang di meja solek untuk kerja-kerja menyolek atau andaman dan juga untuk sesi penggambaran di dalam rumah. Gambar di bawah ini menunjukkan contoh kesan warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna terhadap penyerlahan warna sesuatu objek.


Jenis warna cahaya lampu kalimantang dan indeks penyebaran warna boleh diketahui pada kotak pembungkusan tiub kalimantang. Perkataan Warm White, Cool White dan Daylight biasanya ada tertulis jelas pada kotak pembungkusan tersebut. Untuk mengetahui indeks penyebaran warna pula, anda perlu merujuk pada nombor model lampu tersebut.


Gambarajah di atas adalah contoh kotak pembungkusan lampu kalimantang. Secara jelas anda akan nampak perkataan 'Cool Daylight'. Perkataan 36W menunjukkan ini adalah lampu kalimantang panjang. Perkataan 'TL-D 36W/865' adalah nombor model lampu kalimantang tersebut. Nombor model lampu juga ada tertera pada tiub kalimantang itu sendiri. Nombor 865 adalah kod warna untuk lampu tersebut. '865' bermaksud lampu ini mengeluarkan cahaya 'Cool Daylight' dengan indeks penyebaran warna lebih kurang 85. Rujuk jadual di bawah tentang kod warna tersebut.

0 comments: