MASYARAKAT Melayu memang mempercayai akan kaitan makhluk halus dengan sesuatu masalah termasuk penyakit yang dihidapi oleh mana-mana individu.
Kadang-kadang disebabkan taksub dengan kepercayaan itu semua penyakit dikaitkan dengan gangguan makhluk halus termasuk saka.
Itu yang berlaku pada Kak Limah yang bersungguh-sungguh mahu membawa anaknya Hanah berjumpa seorang dukun bagi membuang saka.
Pada Kak Limah, saka itu membuatkan Hanah menjadi murung dan sering keluar rumah pada waktu magrib.
Ketika ditanya ke mana Hanah pergi, Kak Limah memberitahu anaknya itu keluar berjumpa kawan-kawan.
Tetapi dia hairan kenapa mereka berjumpa pada waktu maghrib lalu dikaitkan dengan saka.
Daripada pengamatan, Hanah merupakan seorang gadis yang pendiam pemalu dan berhemah tinggi.
Dia juga rajin membantu ibunya menjual nasi lemak pagi pagi.
Punca Kak Limah mengaitkan anaknya itu dengan saka kerana Hanah kurus kering seperti lidi.
Bukan soal dia kurang makan, tetapi biarlah banyak mana sekalipun Hanah makan, tubuhnya tetap kurus melidi.
Malah dia juga mempunyai masalah jerawat yang banyak di muka. Ia bagaikan tidak surut-surut selain wajahnya sukar senyum sentiasa serius dan tidak ramah sebagaimana ibunya.
Kak Limah juga memberitahu Hanah sering bergaduh dengan adik beradik yang lain.
"Hanah pantang di tegur. Kalau di tegur dia merajuk. Pernah dia lari ke rumah emak saudaranya kerana marahkan kakaknya yang menegur supaya dia jangan keluar waktu senja. Namun dia degil," kata Kak Limah.
Walaupun masyarakat Melayu sering mengaitkan masalah yang dihadapi Hanah dengan elemen mistik, tetapi dari aspek perubatan dia sebenarnya mengalami masalah kekurangan hormon adrenal.
Kelenjar adrenal yang terdapat pada buah pinggang gagal merembeskan hormon tersebut.
Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, hormon adrenal penting bagi penghasilan tenaga dan menjadikan seseorang itu segar.
"Hormon ini membantu kita menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian," katanya.
Katanya, hormon adrenal paling tinggi pada waktu pagi.
"Bagi seseorang yang mempunyai hormon adrenal yang tinggi, ini memberikan mereka tenaga sepanjang hari.
"Manakala bagi mereka yang kurang hormon ini, akan mengalami keletihan yang teruk pada waktu tengahari atau petang.
"Apabila senja hormon ini keluar semula, maka mereka berasa segar dan barulah bersemangat bertemu kawan-kawan," jelasnya.
Hormon itu juga dinamakan hormon sosial yang membantu kita berinteraksi dengan orang lain dalam suasana tenang dan gembira.
"Tidak hairanlah Hanah mempunyai kecenderungan bersosial di waktu senja kerana pada waktu ini tubuhnya berasa segar dan tenang," kata Dr. Rushmini.
Hormon adrenal juga penting bagi kesihatan kulit. Mereka yang cukup memiliki hormon ini akan cantik dan berkulit mulus.
Masalah jerawat Hanah juga ada kaitan dengan hormon adrenal dan boleh dipulihkan melalui terapi peningkatan hormon itu.
Menurut Dr. Rushmini, apa yang berlaku pada Hanah itu bukan soal saka.
Tetapi lebih kepada faktor genetik di mana Hanah di lahirkan dengan kalenjar adrenal bersaiz kecil.
"Maka, rawatan hormon bioidentical akan memulihkan keadaan hormon Hanah dan mengubahnya menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.
Hanah juga mampu menambah berat badan nya dan mendapatkan tubuh yang cantik dengan peningkatan hormon ini dalam tubuhnya.
Hormon adrenal bertindak ke atas penghasilan lemak. Kandungan hormon yang rendah menyebabkan lemak tidak terbentuk.
"Ini memberikan wajah cekung dan bentuk tubuh leper. Peningkatan hormon menambahkan lemak pada muka, buah dada dan punggung. Ini membolehkan seseorang menukar keseluruhan bentuk tubuhnya," jelas beliau.
Kekurangan hormon adrenal juga menjadikan seseorang itu tampak gelap kerana melanosit yang mengeluarkan pigmen akan menjadi aktif.
Menurut Dr. Rushmini, selepas melakukan ujian darah untuk melihat keadaan hormon Hanah, didapati tekaan mengenai masalah yang dihadapinya tepat.
Selepas diberikan rawatan hormon Hanah banyak berubah. Dia bertukar menjadi lebih riang dan gembira.
Keceriaan turut terpancar di wajah ibunya yang selama ini menyangka anaknya mempunyai saka.
Tetapi masalah sebenar ialah kekurangan hormon.
"Saya tidak sangka Hanah kurang hormon kerana saya ingat hormon berkaitan dengan wanita menopaus," kata Kak Limah
Bagi mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai rawatan memulihkan hormon, boleh menyertai bengkel yang dianjurkan dengan menghubungi 03-87234808 atau 013-2448484.-Utusan
0 comments:
Post a Comment