Simulasi proses pilihan raya, di mana proses pemilihan pemimpin kerajaan
dibuat secara praktikal bermula daripada pembubaran Dewan Rakyat
sehingga pilihan raya selesai, adalah antara penambahbaikan yang
dilakukan dalam modul kenegaraan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata simulasi dengan
kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu akan dimasukkan dalam modul
kenegaraan di semua 79 kem PLKN di seluruh negara bermula tahun depan
dengan 14 kem dipilih sebagai perintis pada tahun ini.
"Simulasi
ini merupakan penambahbaikan dalam modul kenegaraan yang diharap dapat
memberi kefahaman kepada pelatih-pelatih PLKN tentang pentingnya
penglibatan mereka di dalam proses pilihan raya serta demokrasi yang
diamalkan di negara ini," katanya selepas melancarkan pemilihan PLKN
siri 10/2013 di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil,
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe dan
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Sementara
itu Abdul Hadi berkata kesemua pelatih yang terlibat dalam modul itu
akan berlakon sebagai calon dan penyokong untuk membentuk 'kerajaan
mini', serta dibenarkan mempamer poster semasa berkempen.
"Kami
akan memberikan mereka logo-logo untuk mewakili parti yang dipilih dan
ia (proses pilihan raya) itu hanya berjalan selama tiga hari," katanya
sambil menambah kesemua pelatih diwajibkan terlibat dalam simulasi
berkenaan.
Sementara itu, Zahid berkata aktiviti air dalam modul
fizikal PLKN akan diperkenal meliputi latihan keyakinan diri di dalam
air, latihan pengapungan dan tatacara keselamatan.
"Oleh yang
demikian, semua latihan air dilaksanakan di dalam kolam renang.
Keperluan kolam renang ini akan dimasukkan dalam kontrak kerajaan
Penguasa Kem mulai tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Tiki
Lafe berkata semua latihan air hanya akan diadakan di kolam renang
ekoran isu kematian seorang pelatih yang didakwa terkena jangkitan wabak
kencing tikus di kem Sungai Siput, Perak, Mac lepas.
"Kami sudah
tetapkan bahawa, kalau kem itu tiada kolam renang, mereka perlulah
menggunakan kolam renang yang ada berdekatan kem mereka macam di kem-kem
tentera, polis dan sebagainya.
"Kalau tak ada juga, mereka mungkin perlu menyewa kolam renang untuk mengadakan aktiviti air ini," katanya.
Mengenai
pemilihan pelatih PLKN pada Januari 2013 nanti, Zahid berkata daripada
513,527 remaja yang lahir pada 1995, seramai 140,000 (26.95 peratus)
terpilih untuk menyertai PLKN siri 10/2013.
"Kerajaan masih
mengekalkan polisi 55 peratus daripadanya adalah lelaki dan 45 peratus
perempuan. Pecahan mengikut kaum pula adalah Melayu (60 peratus), Cina
(28), India (10) dan lain-lain sebanyak dua peratus," katanya.- Bernama
Monday, July 23, 2012
Menteri: Simulasi p'raya jadi modul baru PLKN
Posted by Suhaimi at 6:52 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment