Hasrat kerajaan merobohkan bangunan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) bagi memberi laluan kepada projek keretapi MRT amat dikesali kerana ia akan menjejaskan orang Melayu yang menguasai 60 peratus perniagaan di tempat itu.
Menurut Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), perobohan BB Plaza juga tidak patut dibuat kerana aset UDA Holding - yang ditubuhkan bagi membantu usahawan Bumiputera - itu berada di tempat strategik dan menjadi tumpuan pelancong.
"DPPWP melihat dengan perobohan bangunan BB Plaza ini, bagaikan menabur pasir ke dalam periuk nasi para peniaga Melayu/Bumiputera di sini.
"Bagaimanakah nasib para peniaga ini nanti?" soal ketua penerangannya Kamaruzaman Mohamad.
Dalam kenyataannya hari ini, Kamaruzaman berkata, walaupun terdapat cadangan membangunkan semula bangunan 33 tahun itu, mungkin peniaga Melayu terlibat tidak mampu menampung kos sewa yang mahal.
"DPPWP difahamkan bahawa laluan pembinaan stesen MRT yang asal tidak melibatkan bangunan BB Plaza. Hanya apabila tidak mampu membayar pampasan, maka aset orang Melayu ini dikambing hitamkan," katanya.
Justeru, kata Kamaruzaman, pihaknya mendesak kerajaan menarik balik cadangan merobohkan bangunan BB Plaza itu demi kelangsungan perniagaan pengusaha Melayu di Kuala Lumpur.
"Kita tidak menolak sebarang usaha untuk membangunkan dan memajukan bandar Kuala Lumpur ini tetapi janganlah sehingga menindas sesetengah pihak terutama peniaga-peniaga bumiputera yang masih memerlukan bantuan untuk terus bersaing dengan peniaga-peniaga lain," katanya.-MKini
0 comments:
Post a Comment