Oleh Tuan Gru Nik Abdul Aziz Nik Mat
ANTARA hikmah zakat ialah bertujuan cuci hati manusia daripada sifat kedekut, kerana sifat kedekut itu suatu racun mempunahkan keimanan.
Jika
racun bahan boleh menghancur jasad manusia, sebaliknya kedekut itu
racun bisa bagi rohani insan. Orang yang menghindar dirinya daripada
sifat kedekut, bererti berusaha menyuburkan imannya.
Zakat
satu daripada rukun Islam untuk mengikis sifat bakhil, seperti firman
Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapa yang dipelihara oleh Allah SWT
daripada sifat kedekut dirinya, mereka itulah orang-orang yang
beruntung.” (Surah Al-Hasyr sebahagian ayat 9)
Orang yang berjaya asuh hatinya daripada sifat kedekut, harta halal mesti dicari dengan usaha yang diredai Allah SWT.
Setelah diperolehi mesti usaha kikis racun bakhil yang bahaya itu.
Bagaimana
hendak lari daripada sifat bakhil jika mereka tidak membiasakan diri
menderma dan bersedekah. Kedekut mesti dikikis kerana ia saudara sifat
mazmumah yang lain seperti pemalas, penakut, takabbur dan dengki.
Antara
cara mengikisnya ialah mengganti sifat bakhil dengan sifat pemurah,
penakut diganti dengan berani. Berani mesti digabung dengan benar.
Ini
kerana ada pepatah mengatakan berani kerana benar, oleh itu jangan
takut pertahankan kebenaran. Kerana yang benar itu hakikatnya datang
daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kebenaran
itu adalah daripada Tuhanmu, jangan sekali-kali kamu termasuk
orang-orang yang ragu.” (Surah al-Baqarah ayat 147)
Penyakit
bakhil akan lenyap sekiranya sentiasa rajin menderma, kerana sayang
kepada sesuatu benda itu tidak akan berakhir kecuali paksa hati
berenggang dengan harta di tangan.
Biasakan menderma dengan wang
tanpa dilihat oleh mata, selok kocek dan hulurkan semua yang tergenggam
di tangan. Dengan demikian lama kelamaan akan hilang sifat sayang kepada
harta.
Dalam pengertian lain bahawa zakat itu mencucikan harta,
kerana zakat itu dari segi bahasa bererti ‘pencuci’. Zakat boleh
membersihkan pemiliknya daripada karat kedekut. Kedekut adalah racun
yang boleh membinasakan iman pemiliknya.
Pada hakikatnya kedekut
itu Tuhan berikan seorang sedikit. Begitu juga sifat pemurah sebagai
batu ujian daripada-Nya, untuk menguji sama ada benar-benar bertauhid
dengan tuntutan dua kalimah syahadat.
Zakat juga sebagai tanda
bersyukur atas nikmat harta yang Tuhan berikan, cara bersyukur ialah
menggunakan di tempat yang disetujui oleh Allah SWT, iaitu memberikan
zakat terhadap lapan asnaf yang disebut dalam Surah At-Taubah ayat 60,
mengeluarkan zakat itu bererti tidak menggunakan harta untuk kepentingan
diri semata-mata.
Tanggungjawab orang yang hendak mengeluarkan
zakat; pertama, hendaklah segera keluarkan zakat meskipun belum sampai
pusingan tahunnya. Hikmah di sebalik bersegera itu ialah untuk
menzahirkan kesungguhan kepada Allah SWT, mengerjakan sesuatu yang
diperintahkan-Nya.
Dengan demikian dapat memasukkan rasa gembira
ke dalam hati golong fakir dan miskin, yang sentiasa menunggu pemberian
zakat kepadanya. Dengan penerimaan zakat itu akan menerbitkan
kesyukuran, serta doa “jazakallahu khaira” ertinya mencetuskan satu
kebaikan di kalangan manusia miskin mendekatkan diri dengan doa kepada
Allah SWT.
Malah malaikat turut meraikan peristiwa mengeluarkan
zakat di kalangan manusia itu dengan doanya: “Allahumma a’ati munfiqan
khalafa wa a’ati mumsikan talafa” yang bermaksud: “Ya Allah berikanlah
orang yang suka menderma kepada orang lain akan gantinya, dan berikanlah
kebinasaan kepada orang kedekut.”
Menyegerakan keluar zakat untuk mendahului kehadiran halangan, masa bimbang daripada terhalangnya membuat kebajikan.
Ini kerana kemungkinan terjadi sesuatu petaka yang tidak diingini terhadap harta tersebut.
Berdasarkan
pengalaman lalu melambatkan mengeluarkan zakat itu banyak
kebinasaannya, melambat dan menyebabkan manusia terdedah kepada
keingkaran terhadap-Nya.
Melambatkan keluar zakat kemungkinan syaitan membisikkan ke dalam hati, sifat ingkar hingga terganggu untuk mentaati Allah SWT.
Apabila tercetus perasaan daripada batin untuk melakukan kebaikan, sayogia rebutlah peluang daripada lintasan hati tersebut.
Ini
kerana jika tidak dilayan cetusan perasaan yang baik, kelak ia akan
menghilang dan tidak menjelma lagi. Ini kerana cetusan perasaan yang
baik itu merupakan ilham daripada malaikat.
Kalau tidak dilayan
ilham yang baik yang diberi oleh malaikat, dikhuatiri bertukar menjadi
sebaliknya. Kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Syaitan
menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu berbuat
kekejian (kedekut).” (Surah Al-Baqarah ayat 268)
Seandainya
bisikan syaitan didengari nescaya manusia gagal dan batal untuk
berkhairat serta menderma. Harta yang dimakan telah dikirim ke tandas,
yang dipakai sudah buruk dan reput. Padahal derma yang telah dikirim
awal kepada Allah SWT, itulah sebenar-benar harta yang boleh ditumpang
pahalanya di akhirat kelak.
Syaitan mempunyai banyak ilham,
setelah satu ilham diikuti pula dengan ilham yang lain, lantas
bertembung dengan ilham malaikat. Terserah kepada manusia memilih hitam
putihnya dua ilham itu.
Tuesday, July 24, 2012
Zakat kikis sifat bakhil,didik rasa simpati
Posted by Suhaimi at 6:21 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment