Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, July 25, 2012

Tok Guru seru rakyat doa untuk royalti Kelantan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru masyarakat Islam khususnya rakyat Kelantan memperbanyakkan doa sempena bulan Ramadan ini termasuk doa untuk royalti Kelantan.

Katanya, rakyat Kelantan perlu berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada pihak yang menyekat pemberian royalti Kelantan agar tidak terus melakukan kezaliman terhadap negeri ini.

“Oleh yang demikian saya minta kepada rakyat doa beramai-ramai moga kezaliman ini diangkatkan dan minta Allah memberi kefahaman kepada menteri terbabit termasuk pegawai Petronas. Kerja menyekat itu suatu dosa,” ujarnya.

"Kalau boleh sebutkan nama menteri atau pegawai terbabit sewaktu sujud ketika solat," katanya lagi.

Menurutnya, pembayaran royalti telah diputuskan oleh Perdana Menteri sebelum ini Tun Abdul Razak, bagaimanapun ianya masih disekat hingga kini.

Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V sendiri bertitah ketika pembukaan sidang Dun Kelantan 1 Mac lalu, agar pendaratan gas dan petroleum perlu didaratkan di Kelantan dan royalti diselesaikan dengan segera.

“Tetapi reaksi dari menteri sepatahpun berhubung perkara itu langsung tidak ada, ianya betul-betul memalukan orang Melayu yang tidak hormat pada rajanya sendiri.

Tambah Tuan Guru, dosa menyekat royalti bukan seperti dosa dengan individu, sebaliknya melibatkan rakyat Kelantan lebih 1.4 juta orang.

“Kalau menteri berkenaan yakin ianya (menyekat royalti) suatu dosa, elok percepatkan pembayaran royalti pada Kelantan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, keberkatan Ramadan katanya perlu diisi sebaiknya dengan ibadah termasuk berzikir, bertasbih dan bersedekah kerana ibadat suatu perkara yang mudah tidak perlu mengambil waktu, tempat yang khusus.

“Berdoa ni tidak semestinya sewaktu sembahyang (solat) di luar sembahyangpun boleh dan tidak semestinya di masjid, sambil memandu kenderaanpun boleh atau berjalan kaki juga boleh,”ujarnya.

Sambungnya, amat rugi sekiranya umat Islam membiarkan Ramadan berlalu pergi tanpa meningkatkan amalan masing-masing.-HD

0 comments: