Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, March 3, 2014

Bagaimana menjadikan Diri Comel dan Cantik dihadapan Allah?

Sumber akuislam.com

Semua orang nak cantik.. semua orang nak comel. Mungkin kita akan berusaha membuat apa sahaja supaya orang akan anggap kita cantik dan comel. Malah kadang-kadang kita sanggup beli produk kecantikkan yang beratus ringgit hanya ingin kulit yang putih, gebu dan halus.

Wanita dan lelaki takkan lari daripada rasa ingin cantik dan kacak. Tak salah nak cantik, malah Allah suka dengan kecantikkan. Namun perlulah cantik bersyariat.

Namun, pernahkah kita terfikir untuk “cantik” dihadapan-Nya? Ya, kita mampu cantik dihadapan manusia, tapi mampukah kita cantik dihadapan-Nya?

Kita mampu tarik perhatian orang dengan amalan kita, namun mampukah kita mendapat perhatian Allah dengan amalan kita yang menunjuk-nunjuk?

Sebenarnya, orang yang mahu “cantik” dihadapan Allah, tidak ingin manusia menilai “kecantikkannya” walaupun seinci.

“Cantik” yang dimaksudkan disini adalah dari segi akhlak dan amalan.

Orang yang cantik dihadapan Allah, secara automatiknya cantik dihadapan manusia. Namun, orang yang cantik dihadapan manusia, tidak semestinya cantik dihadapan Allah.

Hakikatnya, kecantikan akan terpancar dari dalam ke luar, bukannya dari luar ke dalam.

Mahu nilai kualiti solat kita tengok akhlak kita semasa luar solat. Cantik atau tidak?

Apapun status seseorang itu, yang Allah lihat adalah hati.

Jika hatinya baik, sudah tentu akhlaknya juga baik.

Walaupun orang itu ustaz, ustazah mahupun habib, jika akhlaknya pada keluarga dan masyarakat buruk, umpama buah yang cantik warnanya, namun masam isinya.

Daripada Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a, drpd Rasulullah SAW. Baginda bersabda:

    “ Bertakwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan. Nescaya perkara itu akan menghapusnya. Dan pergaulilah manusia dengan AKHLAK YANG BAIK”-   (HR Tarmizi)

Kecantikkan luaran akan pudar namun kecantikkan dalaman akan kekal.

Bagaimana pula kecantikkan amal ibadat kita?

Adakah amalan kita di cantikkan dengan reben keikhlasan?

Berapa ramai yang tidak menutup aurat, riak dengan auratnya?

Berapa ramai yang menutup aurat, riak dengan menutup auratnya?

Berapa ramai yang memuat naik gambar di laman sosial dapat lari dari sikap riak walaupun sedetik?

Bukan niat untuk menghukum namun hukumlah mengikut niat masing2.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan.”-    (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

    Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mengetahuinya”-    (Surah Ali-Imran, ayat 29)

Riak adalah seperti parut. Parut yang merosakkan kecantikkan.

Imam Ibnu Taymiyyah berkata: “Sesungguhnya bagi seseorang yang bersikap riak dalam ibadah, bukan saja ibadahnya batal, malah dia turut mendapatkan dosa daripada perbuatannya itu yang dianggap syirik kecil.”

Riak sangat mudah menghinggap dipipi amalan kita, manakala keikhlasan mudah terluntur. Tidak hairan Nabi kita yang tercinta bimbang dengan sikap riak.

    Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: “Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak.”-    (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sebagai penutupnya, biarlah kita berusaha lebih untuk “cantik” dan “comel” dihadapan Allah.

Tak perlu ada ungkapan “macam” tapi biarlah ia bertukar “memang cantik dan comel” di hadapan Allah tanpa diparuti dengan perasaan riak.

Jika perasaan riak timbul perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Jom jadi “comel” dan cantik dihadapan Allah!

0 comments: