Oleh : AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 20 MAC: Kos pembinaan terowong pejalan kaki bawah tanah dalam projek MRT yang dianggarkan bernilai RM340 juta menghubungkan stesen KL Sentral dan Muzium Negara dianggap tidak rasional.
Hal itu kerana negara mampu membina 8,000 unit rumah kos rendah pada harga RM42,000 seunit dengan kos berkenaan.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Baharin Raja Ahmad berkata, pembinaan terowong bawah tanah dengan jarak 100 meter hanya meningkatkan risiko keselamatan, selain tidak sesuai dengan iklim Malaysia jika dibandingkan dengan negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
“Dengan harga sama (RM340 juta), kita boleh membina 8,000 rumah kos rendah yang bajetnya lebih kurang RM42,000 sebuah.
“Kita memerlukan rumah kos rendah. Jadi, tidak boleh bandingkan dengan negara maju kerana kita negara membangun,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sebagai perbandingan, kos pembinaan lebuh raya empat lorong dengan jarak 100 meter hanya bernilai RM1.2 juta sementara dua lorong pada jarak sama RM600,000.
Raja Kamarul Baharin turut mencadangkan pembinaan jejantas pejalan kaki diteruskan kerana hanya bernilai RM50 juta dengan jarak sama dan tetap memberikan keselesaan kepada pengguna.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut tidak berpuas hati dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang menyatakan terowong terbabit baik untuk rakyat walaupun mahal.
“Kita tidak berpuas hati dengan jawapan CEO MRT Corp. Pada kami kenyataan itu tidak boleh diterima,” katanya.
Friday, March 21, 2014
Parlimen : Kos terowong bawah tanah MRT RM340 juta tidak rasional
Posted by Suhaimi at 11:55 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment