Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, October 19, 2010

Gereja Pun Boleh Muflis

Oleh wartashubhi.blogspot.com


Sebuah gereja yang terkenal di California yang di panggil Crystal Cathedral telah difailkan muflis kerana tidak mampu lagi melangsaikan hutangnya sebanyak USD55 juta. Mereka kini terpaksa menjual segala harta yang tidak terpakai bagi mengatasi kemelut kewangan tersebut.

Ramai pekerja yang berkhidmat di gereja tersebut juga terpaksa diberhentikan seramai 50 orang sejak pendapatan hasil dari sumbangan orang ramai telah jatuh menurun sebanyak 30% semenjak tahun 2008.

Gereja ini terkenal dengan perbelanjaan besar terhadap semua aktiviti agamanya termasuklah menyiarkan program ceramah mereka di siaran-siaran TV di Amerika.

Sila klik di sini untuk berita asal.

Tidak pernah lagi kita dengan Masjid di negara kita jatuh muflis dan kita berdoa agar ianya tidak akan berlaku. Selagi kita berhemah dalam perbelanjaan menguruskan selengaraan dan aktiviti dakwah masjid tidak mungkin kita akan hadapi masalah sehingga ke tahap bankrup.

Namun sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat banyak masjid-masjid yang mega-mega telah dibina serata tempat di negara kita yang perbelanjaan selengaraannya serta pengurusannya sahaja mencecah jutaan ringgit setahun sedangkan jumlah jemaah yang menghadiri solat boleh dibilang jari.

Jika masjid seperti ini yang ketandusan jemaah mengharapkan derma dari pengunjung maka lambat laun masalah kewangan pasti tiba juga atau masjid akhirnya akan buruk tidak terurus dek masalah kewangan.

Satu lagi trend atau aliran baru yang kita lihat ialah keghairahan masjid-masjid yang memasang sistem penghawa dingin yang hebat-hebat untuk keselesaan pengunjung masjid. Ini menaikkan kos perbelanjaan masjid.

Memang cuaca negara kita panas, tetapi saya lihat banyak masjid-masjid besar yang dibina sejak dahulu tidak memerlukan sistem penghawa dingin untuk menyejukkan suasananya, ini kerana arkitek binaannya amat mesra alam dan bersesuaian dengan suasana negara kita yang berangin, hujan dan panas.

Apabila binaan masjid kita lebih menonjolkan binaan tersergam indah dan meniru rekabentuk dari negara-negara lain yang berbeza cuacanya dari kita, maka kita mula menghadapi masalah kepanasan lalu dipasanglah sistem penghawa dingin.

Anehnya kebanyakan masjid memasang alat hawa dingin pada ruang solat utama sahaja, maka pada hari jumaat pengunjung yang lebih dari 2/3 yang terpaksa duduk di luar dari ruang solat bermandikan peluh kepanasan dan hanya mampu mengerling mereka yang berada di dalam ruang solat utama. Menambahkan lagi sedihnya apabila semua pintu ke ruang solat utama ada notis di tepinya berbunyi "sila tutup rapat pintu".

Hasil daripada itu maka banyaklah berlaku masjid yang mengkategorikan jemaahnya kepada 2 kelas utama, satu yang enak mewah di dalam hawa dingin dan satu lagi yang basah baju bermandi peluh di luar ruang utama. Apabila berlaku masalah sistem pembesar suara, jemaah yang berada di luar lansung tidak dapat mendengar apa yang diucapkan oleh imam atau khatib.

Kalau tengah berkhutbah masih boleh dibetulkan lagi, tapi ketika sedang solat, jemaah di luar seperti anak ayam kehilangan ibunya, bertaburan tak tentu perbuatan imam. Kalu nak diikutkan hukum maka putuslah jemaah dan makmun terpaksa bermufarakah dengan bersolat zohor dan bukan lagi solat jumaat.

Ada juga fatwa dari mazhab Shafie yang mensyaratkan sah berjemaah dengan tiada sesuatu yang menghalang pergerakan makmum kepada imam. Ini bermakna makmum yang berada di luar ruang solat yang ditutup rapat pintunya telah putus hubungan dengan imam maka tidak sah jemaahnya. Tapi sekarang banyak masjid yang tidak memperdulikan kaedah tersebut.

Nampaknya dari masalah perbelanjaan menguruskan masjid kita dapat merungkai satu demi satu masalah yang timbul hasil dari kemajuan kita mahu mengamalkan agama. Nyata bahawa tidak ada sesuatupun yang berlaku melainkan pasti ada kesan yang menurutinya.

Benarlah firman Allah dalam surah Al-Zalzalah yang membawa maksud bahawa tidak ada sesuatupun samada kebaikan atau kejahatan hatta sebesar zarahpun yang akan terlepas dari pertimbangan Allah, amat mendalam maksudnya jika perhatikan.

0 comments: