PERLAWANAN bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak yang berlangsung  di Stadium Perak, Perak, baru saja lima minit bermula. Tatkala mood  para pemain sedang berkobar-kobar untuk mengecapi kemenangan secara  tiba-tiba semua yang berada di dalam stadium dikejutkan dengan insiden  yang mencemaskan. 
Bekas juara bina badan dan Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Mohd.  Noor, yang bermain pada posisi penjaga gol diserang sakit jantung. Bekas  atlet berusia 57 tahun tersebut dilihat berpaut pada tiang gol  gara-gara menahan kesakitan pada bahagian dada.
 “Mula-mula saya berasa pening. Kemudian, sesak nafas sehingga saya  rasakan badan semakin mengembang dan jersi mula mengetat terutamanya di  bahagian perut. Oksigen saya pula pada waktu itu bagaikan tidak  mencukupi dan membuatkan saya tercungap-cungap.
 
“Sedangkan semasa melakukan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan  tubuh badan saya dalam keadaan baik saja. Saya boleh melompat dan  berlari setempat,” jelas Malek ketika dihubungi Kosmo! mengenai situasi  yang menimpanya sewaktu terlibat dalam perlawanan bola sepak antara  Pasukan Pilihan Menteri Besar Perak dan Pasukan  Legenda Negara  baru-baru ini.
 Ditebak soalan adakah dia menghidap masalah jantung, anak kelahiran  Kampung Sri Gading Batu Pahat, Johor itu menidakkan sekeras-kerasnya.  Sebaliknya, graduan dari Universiti Denver di Amerika Syarikat (AS)  tersebut memberitahu,   dia  bebas daripada  diabetes, darah tinggi  apatah lagi penyakit jantung.
 Atas faktor berkenaan,  Malek yang menetap di Ampang, Selangor masih  terkejut apabila doktor mengesahkan serangan jantung itu berpunca  daripada dua saluran jantungnya yang tersumbat.
  Sesak nafas
  MALEK  diserang penyakit jantung ketika mahu memulakan perlawanan bola sepak baru-baru ini. 
“Paling mengejutkan, ada pula pihak yang mendakwa serangan jantung  ini akibat saya makan buah durian sewaktu menyertai aktiviti melawat  sebuah ladang buah-buahan di Ipoh, Perak anjuran Yayasan Kebajikan Atlet  Kebangsaan (Yakeb). Sukar bagi saya untuk mengiyakan dakwaan itu kerana  doktor pun tidak mengesahkannya. “Lagipun, pada hari itu saya hanya memakan empat ulas durian.  Kemudian, disusuli pula meminum air kelapa dan menjamu selera dengan  lauk-pauk yang lain,” tutur Malek yang pernah membintangi filem Rimba  Malam sekitar tahun 1992 dalam nada suara yang masih lemah.
 Kisah makan durian sehingga menjejaskan faktor kesihatan terhadap  masyarakat tempatan bukanlah perkara baru. Pada tahun lalu, media  melaporkan akibat terlebih makan durian, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai  Bujang mengalami kesesakan nafas sehingga mencemaskan para tetamu yang  menghadiri jamuan  Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing di bangunan  Parlimen.
 “Sejak kecil saya sudah mengenali buah durian yang berkulit keras dan  mengeluarkan bau yang kuat. Setiap tahun, tiba saja musim durian saya  dan keluarga pasti pulang ke kampung ayah di Kuala Kangsar, Perak.
Di sana, kami berpeluang menikmati buah durian sepuas-puasnya kerana datuk mempunyai dusun yang luas.
 “Seronok apabila makan beramai-ramai sehingga riuh-rendah di  pekarangan dusun. Kadangkala kami adik-beradik bersaing siapa yang makan  durian dalam kuantiti yang banyak. Setakat ini, saya mampu menghabiskan  lebih enam biji durian pada satu-satu masa,” jelas penggemar tegar  durian, Faridatul Husna Othman, 27, kepada Kosmo!.
 Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mesra disapa Husna, tidak  cukup dengan menikmati buah durian di kampung, mereka sekeluarga pasti  tidak melepaskan peluang membawa bekalan longgokan durian pulang ke  Kuala Lumpur.
 “Bagi saya keunikan durian terletak pada tekstur dan isinya yang  lazat. Biarpun menyedari sesetengah individu kurang gemar pada bau  durian tetapi itulah yang menjadikan durian antara buah-buahan tempatan  yang istimewa.
 
TEMPOYAK salah satu produk daripada buah durian yang popular di kalangan masyarakat Melayu. 
“Lagipun durian bukan saja enak dinikmati secara mentah malah ia  boleh dimasak bubur, manisan, aiskrim, kek ataupun  tempoyak yang  dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman,” ujar  Husna. Walaupun pernah terbaca tentang beberapa individu yang jatuh sakit  akibat makan durian, bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 4,  Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu tidak pernah  gusar. Cerita Husna,  sebenarnya ia bergantung kepada  individu itu untuk menjaga diri  sendiri.
 Namun begitu, Husna mengakui bahawa pengambilan buah durian dalam  kuantiti yang banyak membuatkan badannya berpeluh-peluh dan terasa  panas. Bagi menghilangkan kepanasan tersebut dia mengatasinya dengan  meminum banyak air kosong. Ini termasuklah mengikut petua nenek moyang  supaya minum air putih yang diisi dalam kulit durian.
 Minum banyak air 
 |  
 | 
| DURIAN amat tinggi kandungan karbohidrat yang secara tidak langsung meningkatkan paras gula dalam darah.  
 | 
“Sukar untuk dijelaskan, keberkesanan minum air putih dalam kulit  durian yang dapat meredakan kepanasan dalaman badan. Lagipun petua ini  telah dipraktikkan secara turun-temurun. “Pendapat peribadi saya, jika tidak mahu suhu badan terasa panas,  janganlah makan durian umpama tiada esok bagi durian lagi,” saran  peniaga durian, Mustafa Ali, 53, ketika ditemui di tapak bazar Taman  Melawati, Kuala Lumpur.
 Menyentuh mengenai kepanasan badan gara-gara menikmati buah durian,  pakar perubatan dan pernafasan Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Ab. Rahim  memberitahu, buah durian mempunyai kandungan gula dan lemak yang  tinggi. Jadi apabila individu memakan durian dalam kuantiti yang banyak  maka ia mengganggu sistem metabolisme gula di dalam badan.
 Kesan daripada peningkatan kadar metabolisme akan menghasilkan haba  dalam badan. 
 “Bagi penghidap diabetes, jantung atau darah tinggi mereka perlu  mengelakkan makanan yang manis, kandungan garam yang tinggi,  berkolesterol dan berlemak. Durian antara buah yang mempunyai ciri-ciri   itu.
 “Cara untuk mengurangkan suhu dalam badan adalah dengan minum banyak minum air kosong,” jelas Zal.