Setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, rakyat akan mendapat penjelasan dengan sebab yang hampir sama, iaitu kenaikan harga di pasaran dunia. Adakah ianya benar, atau pun hanya sekadar ingin meredakan amarah rakyat? 'Posting' kali ini membandingkan jawapan daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dengan Prof Madya Dr Hamid Yeop Yeop Zainuddin (Prof), seorang ahli akademik berkaitan isu kenaikan harga minyak ini.
Mengapa berlaku kenaikan harga minyak?
UPE : Ini disebabkan berlaku kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kenaikan harga minyak adalah disebabkan permintaan tinggi minyak mentah dunia berbanding bekalan menyebabkan pasaran tertekan
PROF : Di pasaran dunia, harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun, asyik naik sahaja. Sesiapa pun faham. Ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia.
Negara kita menghasilkan minyak. Jadi kenapa minyak di Malaysia perlu naik juga?
UPE : Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah. Harga minyak ditentukan pasaran dunia, Malaysia tidak mempunyai kawalan.
PROF : Untuk mudahkan orang awam faham ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda. Begitu juga minyak mentah Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai OPEC. Pada Jun 2008, harga minyak telah naik kepada kepada AS$138 iaitu RM483 setong. Justeru perolehan setahun hingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 bilion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 bilion berbanding tahun sebelumnya. Jika benar rakyat didahulukan masa sudah tentulah jual murah di dalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati bersama.
Kenapa kerajaan perlu kurangkan subsidi? Bagaimana penjimatan subsidi akan dibelanjakan?
UPE : Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan. Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan.
PROF : Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Ke mana perginya untung RM78 bilion ini? Lagilah tidak logic kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain. Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut, mustahil mereka mahu menjual dengan harga seperti dijual Petronas.
Patutkah kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk membiayai subsidi?
UPE : Walaupun Kerajaan boleh membiayai sepenuhnya subsidi yang kian meningkat tetapi ini bukanlah langkah yang terbaik kerana akan menjejaskan pelaksanaan program lain yang lebih produktif. Oleh itu, jika rakyat dan Kerajaan dapat berkongsi kos kenaikan harga keluaran petroleum dan mengurangkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, sebahagian daripada sumbangan PETRONAS boleh dilaburkan ke dalam aktiviti yang menjana pendapatan baru demi kesejahteraan negara dan rakyat.
PROF : Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak yang dijual di dalam negara. Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual petrol dengan harga lebih rendah secara langsung akan meningkatkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan jualan minyak.
Saturday, April 2, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment