Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, July 27, 2011

Sistem biometrik: Lebih banyak masalah timbul

http://2.bp.blogspot.com/-xWYOHiXICu8/Tip8uEziyUI/AAAAAAAAEik/7ODKi0P7gGM/s320/biometrik.jpg
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat berpendapat pelaksanaan sistem biometrik dalam pilihan raya umum (PRU 13) akan terdedah kepada lebih banyak masalah dan bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini.

Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi, demikian menurut satu kenyataan media bersama diwakili Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS), Liew Chin Tong (DAP) dan Mohd Rafizi Ramli (PKR) hari ini.

Menurut kenyataan itu, mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.

“Maka tidak hairanlah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU 13 kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah; iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.

“Ini akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU 13,” kata mereka.

Justeru itu kata mereka, pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan.

Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderongan pengundi keluar mengundi.

Proses timbang tara terhapus

Sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihan raya adalah adil dan saksama.

“Ini berlaku apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer,” jelas mereka.

Mereka berkata, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi. Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

“Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0.

“SPR wajib kembali kepada lapan tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

“Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan lagi kemarahan rakyat,” kata mereka.

Bagaimanapun, mereka mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelaksanaan sistem biometrik yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulang kali memang wujud dalam amalan pilihan raya di negara ini.

Cadangan SPR untuk melaksanakan sistem biometrik bagi mengekang masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali adalah bukti bahawa pimpinan Barisan Nasional (BN) sekalipun tidak mampu menafikan suara rakyat yang menyertai Himpunan Bersih 2.0.

“Maka, kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai.

“Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan BN akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu.FMT

0 comments: