Sumber Metro
Majlis pertunangan Erni Dekritawati Yuliana Buhari dengan Kamarulazlan Mohamad Hanafiah malam tadi
KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 orang membabitkan ahli keluarga dan kenalan rapat menghadiri majlis pertunangan anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26 dengan Kamarulazlan Mohamad Hanafiah, 35, malam tadi.
Majlis diadakan secara tertutup di kediaman mewah keluarga jutawan  kosmetik itu di Gombak, dekat sini dan turut dihadiri Timbalan Menteri  Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim serta suami.
Acara bermula selepas solat Isyak apabila rombongan lelaki yang mengenakan pakaian berwarna ungu tiba jam 8.45 malam membawa tujuh dulang hantaran termasuk cincin pertunangan dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.
 Pertunangan Erni Dekritawati Yuliana atau Rita dengan Kamarulazlan  yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Mashitah menamatkan spekulasi  berkaitan lelaki pilihannya kerana Rita yang kini menjadi Pengarah  Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd sebelum ini pernah dikaitkan dengan  beberapa individu. Difahamkan, jumlah hantaran yang bakal diterima Rita  pada majlis perkahwinannya yang dijangka berlangsung 4 Disember depan  ialah sebanyak RM30,000 serba satu manakala majlis persandingan di pihak  lelaki pula dijadualkan pada 8 Disember.
Kisah peribadi Rita mula menjadi perhatian umum selepas ibunya bersama tiga yang lain, dibunuh kejam sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke sungai dalam kejadian di Ladang Gadong, Banting, pada Ogos tahun lalu.

0 comments:
Post a Comment