
BEBERAPA  orang penduduk merangkak   ketika menyeberangi sebatang anak sungai  semalam, selepas jambatan asal   dirobohkan untuk diganti dengan jambatan  baru di Jalan Air Keroh di   Kampung Bukit Senggeh, Nyalas, Jasin,  Melaka. 
JASIN   29 Sept. - Perkhabaran pembinaan jambatan baru bagi  menggantikan   jambatan yang rosak awal tahun lalu begitu menggembirakan  penduduk   Jalan Air Keroh di Kampung Bukit Senggeh di sini.
Senyuman   penduduk juga tidak lekang dari bibir apabila melihat  kontraktor mula   sibuk memecah jambatan lama dan memunggah pembentung  konkrit untuk   menyiapkan jambatan baru yang dikatakan hanya mengambil  masa tiga   minggu untuk siap.
Namun,   entah apa yang tidak kena, kegembiraan penduduk di situ tidak  lama   apabila kerja-kerja pembinaan jambatan terbabit yang didakwa  penduduk   berjalan hanya sehari, tiba-tiba dihentikan dan kini  membebankan pula   penduduk.
Salah   seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Yusof, 57, berkata,  masalah   tersebut menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan  masyarakat luar   dan sukar untuk melaksanakan urusan harian dengan  sempurna.
Katanya,   masalah itu lebih memberi tekanan kepada keluarganya kerana    menyukarkan penghantaran suaminya, Mohd. Isa Yusuf, 64, ke Hospital    Jasin akibat diserang penyakit lemah jantung malam kelmarin.
''Anak-anak   terpaksa menggunakan laluan ladang getah yang tidak boleh  dilalui   langsung oleh kenderaan tetapi kami tiada pilihan terpaksa  kerana perlu   segera menghantar suami ke hospital," katanya ketika  ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya,   sejak lebih dua minggu, penduduk di situ terpaksa  menggunakan laluan   getah tersebut untuk keluar menjalankan aktiviti  harian termasuklah   anak perempuannya yang berulang-alik kerana bekerja  di pusat bandar   seawal pukul 6 pagi.
Bagi   Ibrahim Yusuf, 47, projek pembinaan jambatan baru yang  terbengkalai   sejak lebih dua minggu itu banyak menimbulkan kesulitan  kepada   penduduk, khususnya pelajar yang ingin ke sekolah.
''Saya hairan, kalau tidak boleh disiapkan segera atau tidak cukup peruntukan, kenapa tergesa-gesa robohkan jambatan lama.
''Jambatan   lama itu hanya rosak kecil dan boleh dibaiki sedikit untuk  sementara   waktu, kalau terus dibiarkan masalah ini berlaku, susahlah  penduduk   kampung untuk menjalankan kerja harian," katanya.
Sementara   itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya  berusia lima   tahun terpaksa 'merangkak' melalui laluan kecil yang dibuat  sendiri   oleh penduduk setiap kali menghantar cucu ke Tadika Kemas di  kampung   itu.
''Mak   cik sudahlah uzur tetapi terpaksa melalui juga laluan sempit  dan   berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu, kami perlu    merangkak melaluinya, kalau tidak, boleh terjatuh kerana laluannya agak    bercerun," katanya.
Tegasnya,   penduduk terdedah dengan keadaan berbahaya kerana keadaan  tapak  projek  yang dipenuhi pembentung konkrit, malah apabila waktu  hujan,  laluan di  situ termasuk ladang getah langsung tidak boleh  digunakan  sebagai  laluan.
0 comments:
Post a Comment