Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, December 17, 2011

Subaru BRZ: enjin boxer, pacuan roda belakang, zenith


PENAMPILAN yang pasti tidak sukar untuk menarik minat penggila kereta berprestasi tinggi.
SUBARU pada Pameran Kereta Tokyo baru-baru ini telah melancarkan model sport yang ditunggu ramai iaitu BRZ. Berkuasa 200PS dan tork maksimum 151lb/ft untuk kereta dengan berat 1,220kg, BRZ, ialah kereta yang direka untuk pemanduan menyeronokkan.

Antara formula keseronokan tersebut ialah dengan capaian graviti serendah mungkin. BRZ sebenarnya adalah projek usaha sama dengan Toyota yang menyaksikan model itu turut dizahirkan dengan dua lagi kembarnya iaitu Toyota GT-86 dan Scion FRS.

Memandangkan projek itu secara langsung melibatkan Toyota yang pakar dalam bisnes kejuruteraan, maka tidak hairanlah ia berkongsi tiga jenama berbeza bagi meraih sekala ekonomi. Sekali pandang, ketiga-tiga model itu seolah-olah hanya melibatkan pertukaran lencana sahaja.

Subaru BRZ direka dan dibangunkan sejak dari awal lagi untuk menjadikannya sebuah kereta yang seronok untuk dipandu dengan pengendalian yang mantap. Di samping ciri-ciri lazim Toyota iaitu boleh dipercayai dan selamat.

Pakej enjin yang dibuat secara berhati-hati membolehkan enjin Boxer yang terkenal sebagai trademark Subaru itu dipasang pada kedudukan rendah.

Rekaan signatur
Enjin aspirasi normal (N/A) itu turut menjadikan kereta nampak rendah dan lebar dengan ukuran tingginya 1,300mm, manakala lebarnya 1,775mm. Walau bagaimanapun, Subaru menyatakan ruang bonetnya masih selesa, memadai untuk pemanduan hujung minggu dan harian.

Dari segi luaran, walaupun berkongsi produk dengan Toyota, BRZ tetap mengekalkan identiti Subaru. Pada bahagian depan, enjin Boxer itu diserlahkan dengan garisan bonet yang rendah dan disertai dengan arca roda yang membonjol.

Ciri rekaan signatur Subaru seperti lencana enam bintang, lampu serta gril heksagon memberikan BRZ imej yang segar dan tajam. Pada bahagian belakang pula, peresap yang dominan dengan ekzos berkembar sangat jelas dipasang bagi menimbulkan efek berprestasi model terbaru daripada Subaru.

Ruang dalaman BRZ direka untuk memastikan pemandu benar-benar menikmati pengalaman ketika memandunya. Roda stereng bersaiz kompak digunakan supaya pemandu dapat bertindak balas dengan respons BRZ yang pantas.

Kluster meternya pula mempunyai takometer dengan meter kelajuan digital yang dipaparkan pada bahagian tengah bagi memastikan data tersebut dapat dibaca dengan cepat supaya tumpuan pemandu pada jalan raya dapat dimaksimumkan. Kerusi BRZ pula direka khas dengan ciri-ciri ergonomik bagi memeluk pemandu dan penumpang dengan selamat dan selesa.

Enjin Boxer Subaru dieksploitasi sepenuhnya untuk projek tiga serangkai itu. Enjin 2.0 liter tersebut dibangunkan semula bersama Toyota. Ia kini mempunyai sistem pancitan terus D-4S dan teknologi liang suntikan bagi meningkatkan kecekapannya.

Transmisi BRZ pula dijuruterakan untuk rasa tukaran gear yang mantap. Kotak gear enam kelajuan BRZ adalah jenis tukaran singkat yang dioptimumkan pada ketegaran, ketepatan serta beratnya. Transmisi enam kelajuan automatik mempunyai mode Sports untuk tukaran gear yang cepat.

Mode manualnya pula membolehkan pemandu menggunakan pedal pada stereng dan penurunan gear throttle blipping bagi memastikan pemanduan benar-benar puas menggunakannya.

BRZ mempunyai kerangka yang ringan dan tegar. Ia dibangunkan bagi memaksimumkan kelebihan titik graviti yang rendah. Kerangka BRZ dihasil menggunakan teknologi besi regangan tinggi yang termaju. Selain membantu dalam membentuk karakter kereta, teknologi itu juga berfungsi melindungi penumpang.

Bonet aluminium pula meminimumkan berat badan kereta dengan strukturnya direka untuk melindungi keselamatan pejalan kaki. Harus tahu bahawa semua varian BRZ dilengkapi sistem kawalan kestabilan elektronik bagi memastikan keseronokan pemanduan dipakejkan sekali dengan aspek keselamatan.

Kepada yang berminat, Subaru merancang untuk menjual BRZ pada tahun 2012. Dengar kata, Motor Image yang bertanggungjawab mengedar kenderaan jenama Subaru di Singapura dan Malaysia merancang untuk membawa masuk BRZ ke pasaran tempatan pada tahun depan.


0 comments: