Satu-satunya  cawangan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Melaka yang  mempunyai keahlian seramai 60 orang hari ini bertindak membubarkan parti  berkenaan sekaligus memasuki PKR di bawah Cabang Tangga Batu, Melaka.
Menurut  bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh,  tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah  terkeluar daripada perjuangan asal parti.
Justeru katanya, ahli terkeliru dengan perjuangan yang dibawa presidennya, Datuk Zahid Ibrahim.
"Kita  telah mengambil keputusan bahawa kita tidak lagi menyokong parti KITA  kerana akar umbi yang bersama-sama kita di sini sudah keliru dengan  perjuangan yang dibawa Datuk Zahid Ibrahim dan juga parti KITA.
"Penubuhannya  empat bulan sebelum itu memang ada pelbagai aktiviti tetapi selepas itu  sehingga sekarang kira-kira dalam enam bulan dan tujuh bulan setelah  itu kita tidak dipanggil untuk bermesyuarat, mungkin telah dipinggirkan  berikutan tiada gerak kerja parti yang dijalankan.
Turunkan papan tanda
"Kita  ada pejabat iaitu di Taman Gadong Perdana, Pulau Gadong Melaka, tetapi  kita hanya bergerak dalam negeri Melaka sahaja dan pusat tidak pernah  memanggil kita atau memberi arahan melakukan gerak kerja dan lain-lain,"  katanya pada sidang media di perkarangan bekas pejabat parti berkenaan  hari ini.
Sebaik sahaja papan tanda parti itu diturunkan di  premis berkenaan Hashim bertindak menyerah 60 borang keahlian PKR kepada  Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.
Sementara itu, bekas  setiausaha agung parti KITA yang dipecat 10 Disember lalu, Abdul Latif A  Tambi yang turut dijemput pada majlis berkenaan mendakwa setakat ini  hanya parti KITA cawangan Kedah sahaja yang dilihat aktif sementara yang  lain sepi.
"Biarpun parti KITA adalah sebuah parti yang sah  namun kita masih meragui pada peringkat cawangan di Melaka kerana ia  dikatakan masih tidak memperolehi kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Mungkin  mereka tidak mahu wujudkan lagi cawangan ini, jadi saya rasa eloklah  kami bubar dan berjuang di bawah parti lain yang sesuai kepada kehendaki  kita justeru kami memilih PKR.
"Kita bekerja bukan untuk  mendapatkan kedudukan dan pangkat tetapi bekerja untuk menumbangkan BN  dan Umno dan kita akan bekerja kuat menerusi PKR Cabang Tangga Batu  untuk menyatukan kekuatan kita.
"Kita nampak Datuk Zahid Ibrahim  tiada tumpuan dan terlalu berubah kerana suatu ketika dahulu dia terlalu  taksub memuji-muji BN sehingga melakukan "road show" meminta maaf  kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menyokong transformasi BN itu sendiri  dan menidakkan keupayaan Pakatan Rakyat terutama PKR.
Memohon maaf
"Tetapi  sejak akhir-akhirnya setelah dia kurang mendapat perhatian daripada BN  dia memuji pula Pakatan Rakyat dan tidak mahu bertanding enggan tidak  mahu meletakkan sebarang calon semata-mata mahu menyokong pembangkang.
"Dua  tiga hari lepas menerusi laman sosial Twitter dia memohon maaf kepada  Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah nampak macam tidak ada pendirian  jadi kita merasakan tidak patut lagi mengikut pemimpin seperti ini,"  katanya.
Dalam pada itu, Shamsul menyambut baik kemasukan seramai 60 ahli dari parti KITA ke dalam PKR.
"Saya  ingin menyeru semua ahli KITA seluruh negara untuk bersama sama Pakatan  Rakyat dan kita mengambil pendirian tegas di dalam persiapan PRU 13  nanti.
"Kita memerlukan sokongan dari semua segmen dalam masyarakat sama ada yang pernah menentang PKR dan Anwar.
"Selepas  pembebasan kes liwat Datuk Seri Anwar telah mula menampak cahaya baru  dan rakyat sedar ia merupakan fitnah politik," katanya.
Parti KITA dilancarkan pada 12 Jan 2010 oleh Zahid manakala cawangan KITA di Melaka mula diwujudkan pada 19 Jun 2011.
Pembubarangan itu bermakna parti berkenaan hanya bertahan dalam tempoh kira-kira enam bulan sahaja di Melaka.
malaysiakini/-
Wednesday, January 11, 2012
Parti KITA Melaka dibubarkan, ahli masuk PKR
Posted by Suhaimi at 8:08 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment