Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, December 27, 2013

Kadar simpanan asas KWSP dirombak Januari ini


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan.
 
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.
 
Beliau berkata ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.
 
"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.
 
Nik Affendi berkata kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.
 
"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.
 
Beliau berkata antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.
 
"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.
 
Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. - Bernama

0 comments: