KUALA LUMPUR – PKR mencadangkan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat rundingan semula dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk mengurangkan kos ditanggungnya sekali gus berupaya menurunkan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna.
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, TNB banyak mengeluarkan belanja untuk membeli tenaga elektrik daripada IPP pada kadar yang tinggi sehingga terpaksa menanggung kos berlebihan.
“Ini satu faktor mengapa TNB selalu tidak cukup wang kerana mereka terpaksa bergantung kepada IPP untuk mengekalkan bekalan elektrik yang mencukupi.
“Jadi saya rasa lebih baik jika TNB berunding dengan IPP supaya kadar itu dapat dikurangkan daripada menaikkan tarif elektrik sedia ada yang membebankan pengguna,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, kenyataan bahawa kenaikan tarif yang berkuat kuasa 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan TNB sukar diterima kerana syarikat itu mengaut keuntungan lebih RM4 bilion.
Pada 30 Oktober lalu, TNB mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM4.61 bilion dicatatkannya keseluruhan tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2013.
Ini mewakili peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM4.41 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Kalau mereka kata tidak cukup, maknanya mereka tidak ada keuntungan dan kita faham kenapa mereka naikkan tarif. Tapi macam mana boleh kata tidak cukup padahal mereka untung RM4 bilion.
“Saya kurang faham mengenai perkara ini. Sepatutnya keuntungan itu mereka boleh gunakan untuk perbelanjaan yang diperlukan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, kenaikan tarif elektrik baru yang berkuat kuasa Januari 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan syarikat tersebut.
Sunday, December 22, 2013
Untung RM4b masih tak cukup?
Posted by Suhaimi at 4:42 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment