Kasmah menunjukkan berlaku peningkatan bil elektrik mendadak bil pada April lalu berbanding Mac |
KUALA ROMPIN - Rata-rata pengguna di sekitar Bandar Kuala Rompin, di
sini, merungut berikutan kenaikan kadar tarif elektrik sambil
menyifatkan kadar itu terlalu membebankan pengguna.
Peniaga dan penduduk mendakwa, kenaikan tarif elektrik itu dianggap
sebagai tidak munasabah kerana terpaksa membayar sekurang-kurangnya
sekali ganda berbanding sebelum ini.
Keadaan itu merunsingkan pengguna terutama bagi golongan berpendapatan
rendah yang terpaksa mengimbangi kenaikan kos sara hidup dan bahan
mentah lain.
Pengguna mendesak agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Rompin
menyemak semula tarif elektrik di daerah itu kerana ia menimbulkan rasa
tidak puas hati dengan kenaikan mendadak berkenaan.
Penyata bil mengelirukan
Seorang suri rumah, Balkish Mohd Isa, 42, berkata, dia kecewa kerana
terpaksa membayar bil elektrik tertunggak selama dua bulan
kemungkinan dipercayai akibat dari-pada kesilapan teknikal TNB.
Menurutnya, pada pertengahan April lalu, dia menerima bil elektrik yang
dihantar melalui pos dengan tertera jumlah semasa adalah RM0.
Namun, katanya, pada Mei lalu, dia terkejut apabila bil elektrik yang
diterimanya tiba-tiba naik sekali ganda iaitu sebanyak RM94.45 hingga
mengundang keraguannya terhadap pemeriksaan meter yang dijalankan pihak
terbabit.
“Sangkaan saya mungkin bulan ini kami boleh berjimat kerana bulan lepas
kami tidak ada tunggakan bil elektrik, namun sangkaan itu meleset
apabila kami terpaksa membayar sekali ganda daripada kebiasaannya,”
katanya kepada Sinar Harian.
Balkish berkata, sebagai pengguna, timbul keraguan apabila mendapati
bil yang diterima itu tidak menunjukkan tarikh sebenar bilakah bil ia
dikeluarkan.
“Perkara ini seharusnya tidak terjadi kerana membebankan pengguna
memandangkan terdapat kekeliruan pada penyata bil yang diberikan,”
katanya.
Peniaga Kedai Makan, Tan Jit Fong, 46, berkata, dia terkejut apabila bil elektriknya pada Mei naik sebanyak RM225.88.
Jit Fong berkata, penggunaan elektrik di kedainya itu adalah sama
seperti sebelum ini, namun kesal apabila terpaksa membayar caj lebih
mahal.
Katanya, dia turut diberi notis pemotongan bekalan elektrik daripada TNB
sekiranya gagal menjelaskan bayaran tertunggak tersebut.
“Biasanya jumlah bil elektrik yang perlu dijelaskan tidaklah sebanyak
ini, namun saya hairan kerana jumlah tersebut berlipat kali ganda hingga
membebankan kami untuk membayarnya,” katanya.
TNB disaran tingkat mutu perkhidmatan pelanggan
Pengusaha Kedai Dobi, Zanariah Buyong, 39, berkata, pada bulan lalu bil
elektriknya naik kepada RM68.78 berbanding hanya RM40 pada April lalu.
Menurutnya, terdapat perbezaan hampir RM30 yang terpaksa dibayarnya
pada bulan lalu sekali gus menyebabkan perniagaannya sedikit terjejas.
Katanya, peniaga kedai dobi bukan sahaja terpaksa bersaing dengan
peniaga kedai mencuci pakaian lain, malah kini, mereka pula dihimpit
kebimbangan dengan kenaikan tarif elektrik yang mendadak.
“Masalah bekalan elektrik yang sering terganggu dan kelewatan
memperbaiki kerosakan antara sebab kenaikan itu perlu dikaji semula
selain perlu penambahbaikan dari segi perkhidmatan pelanggan,” katanya.
Peniaga gerai makan, Kasmah Surat pula berkata, pada bulan ini, bil
elektrik yang diterimanya hampir dua kali ganda apabila terpaksa
membayar RM377 pada April lalu berbanding hanya RM188 bulan sebelumnya.
Menurutnya, jumlah bil yang terpaksa dibayarnya itu membebankan kerana
jumlah bil elektrik biasanya tidak melebihi RM200 setiap bulan.
“Bagi peniaga seperti saya, jumlah itu terlalu tinggi dan membebankan
kerana terpaksa ambil kira kos sampingan lain yang terpaksa dibayar
termasuk upah pekerja dan modal pusingan perniagaan,” katanya.
Pas serah memorandum bantahan kepada TNB
Sementara itu, Pas Kawasan Rompin menyerahkan satu memorandum bantahan
kenaikan tarif elektrik kepada TNB dan menuntut agar ia dikaji secara
menyeluruh sebelum kenaikan dibuat pihak terbabit.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman,
Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, memorandum itu diserahkan memandangkan
ramai pengguna di Rompin merungut berhubung hal itu.
Menurutnya, Pas melihat kenaikan sehingga 200 peratus atau tiga kali
ganda yang dihadapi sesetengah pengguna terlalu membebankan rakyat dan
ia tidak seharusnya berlaku dalam keadaan taraf hidup yang semakin
meningkat.
“Penyerahan memorandum ini dibuat adalah kerana kami mahu TNB mengkaji
secara menyeluruh sebab kenaikan bil yang naik mendadak selain mengenal
pasti apakah tindakan yang perlu diambil bagi memastikan bil yang tinggi
itu mampu dibayar golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Selain itu, beliau juga merayu agar TNB tidak membuat tindakan
penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan elektrik sekiranya pengguna
tidak berupaya membayar bil yang tinggi.
“Kita minta budi bicara TNB supaya pengguna yang terbeban dengan
kenaikan ini dapat membayar sebahagian daripada jumlah bil tersebut bagi
memastikan mereka terus boleh menikmati bekalan elektrik berterusan,”
katanya.
TNB nafi berlaku kenaikan tarif elektrik
Sementara itu Jurucakap TNB Pahang menafikan berlakunya kenaikan tarif
elektrik hingga menyebabkan pengguna terbeban dengan situasi tersebut.
Katanya, terdapat beberapa kemungkinan menyebabkan bil yang diterima
pengguna itu tinggi termasuk pembacaan meter anggaran yang dibuat TNB
melalui Kedai Tenaga berhampiran.
Bagaimanapun, katanya, pembacaan anggaran itu akan diselaraskan semula
pada bulan berikutnya bagi menentukan jumlah sebenar yang sepatutnya
dibayar pelanggan.
“Sekarang ini kita akan baca meter dua bulan sekali termasuk satu bulan
yang dibaca berdasarkan anggaran daripada Pusat Khidmat Pelanggan TNB
Rompin yang kemudiannya bil itu akan dihantar dari rumah ke rumah
melalui pos,” katanya.
0 comments:
Post a Comment