[HM] KUALA LUMPUR: Penambahan ‘benzoil peroksida’ dalam tepung gandum
hanya menguntungkan syarikat pengeluar kerana campuran bahan kimia
berkenaan mampu mempercepatkan proses kematangan tepung kurang matang
daripada tempoh sebenarnya.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim
Johan berkata, senario itu menyebabkan hampir 50 peratus tepung yang
berada di pasaran tempatan ketika ini mengandungi bahan campuran
berkenaan.
“Tidak ada faedahnya bahan berkenaan diletakkan di dalam tepung gandum
sedangkan harga dan kualitinya tetap sama jika bahan berkenaan tidak
digunakan sekalipun kerana penggunaannya lebih menguntungkan syarikat
tertentu.
“Antara sebab syarikat lebih gemar menggunakan bahan berkenaan kerana ia
mampu mempercepatkan proses ‘penuaan’ tepung gandum sekali gus
membolehkan tepung dihasilkan dapat dipasarkan kepada pengguna bagi
meraih keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengenai penggunaan
‘benzoil peroksida’ dalam tepung gandum tidak memudaratkan kesihatan
pengguna jika kadar bahan itu menepati piawaian antarabangsa iaitu 60
miligram per kilogram (mg/kg).
Menurutnya, bagi negara ini penggunaan bahan itu dalam tepung gandum
hanya dibenarkan pada kadar tidak melebihi 50 mg/kg mengikut Perkara 42,
Peraturan Makanan 1985.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Rosnah menerima memorandum tujuh muka
surat daripada PPIM mengenai bantahan penggunaan racun dalam makanan dan
desakan kerajaan mengharamkan penjualan serta penggunaan tepung
mengandungi bahan peluntur.
Nadzim berkata, penggunaan bahan yang mampu mempercepatkan proses
kematangan tepung mendatangkan keuntungan lebih kepada sektor industri,
meskipun pada jangka panjang pengguna mengalami kerugian dari aspek
kesihatan.
“Senarionya, ‘benzoil peroksida’ sudah 50 tahun digunakan dalam pasaran
negara ini dan tidak ada sebab ia perlu digunakan. Kalau ada sebab bahan
berkenaan digunakan tidak mengapa,” katanya.
Sunday, June 10, 2012
Hampir 50% Tepung Mengandungi Campuran Benzoil Peroksida?
Posted by Suhaimi at 10:25 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment