KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC)
berkenaan Lynas Advanced Material Plants (LAMP) tidak memperincikan
butirannya secara saintifik.
Biarpun pendengaran awam yang
dijalankan mengambilkira pandangan daripada pelbagai pakar, persoalan
yang membimbangkan rakyat masih tidak terjawab.
Demikian dinyatakan ahli parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau
berkata sewajarnya sebuah makmal ditubuhkan bagi mengkaji secara
terperinci segala kesan dari pemprosesan nadir bumi terhadap kesihatan
dan alam sekitar.
Mengakui beliau hanya mempunyai kepakaran di
bidang nuklear dan tidak arif mengenai bidang-bidang lain, justeru
beliau meminta tidak ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan
beliau sebelum ini.
"Memang saya mengatakan projek Lynas itu
hanya mempunyai kadar radiasi yang rendah, namun ia tidak membuktikan ia
selamat," tegas beliau lagi.
Ini kerana, katanya kesan dari
proses penguraian bahan-bahan nadir bumi itu akan menghasilkan tiga
jenis residu yang memberi kesan kepada kesihatan.
Sehubungan itu,
beliau mengatakan keperluan untuk mengadakan 'Health Impact Assessment'
(HIA) dan 'Health Risk Assessment' (HRA) dan aspek pengurusan residu
perlu dititikberatkan.
Dalam pada itu, ahli parlimen Kuala
Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pengalaman dalam kes Asian Rare
Earth (ARE) di Bukit Merah tercetus akibat ketiadaan pelan pengurusan
sisa membabitkan bahan radioaktif.
"Memang kadar radiasinya
rendah sebagaimana dinyatakan Hulu Langat (Che Rosli), tapi residu yang
terhasil dari bahan itu yang membimbangkan kita," tegas beliau.
Katanya,
tindakbalas kimia ini menghasilkan 'heavy metals' seperti plumbum,
merkuri, arsenik, cadmuim dan nikel, yang mana ketiga-tiga 'heavy
metals' terakhir itu adalah karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser.
Atas
sebab itu, beliau berpendirian PAS tidak dapat menerima projek tersebut
kerana ia tidak dikemukakan secara saintifik berhubung kesan-kesan
sampingan dari pemprosesan nadir bumi tersebut.
Turut serta dalam sidang media itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Wednesday, June 20, 2012
Media putar belit kenyataan saya - Dr. Che Rosli
Posted by Suhaimi at 10:53 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment