Sememangnya,
mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia
menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap
menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.
Dahaga bukan
petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana
sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat,
terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan
air hingga satu peringkat tertentu.
Paras garam
akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan
mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah
pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa
dahaga.
Bagaimanapun,
cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa
dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan.
Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.
Air adalah
unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan
55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk,
pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.
Kandungan air
dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak
masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang
yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat
otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82
peratus kandungan darah membabitkan air.
Badan
mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari,
walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing,
najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita
kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh
dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.
Ini sebabnya
pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas
atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air
minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Berapa banyak air yang kita perlukan?
Secara umumnya
setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air atau satu
liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu,
aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita
melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air
melalui peluh.
Air yang
keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam,
untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan
tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika
terlalu serius, ia boleh membawa maut.
Jika terlalu
banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi
ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan
air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah
berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi
setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.
Mereka yang
bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air.
Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh
memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses
menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.
Masalah
retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi
kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.
Oleh kerana
kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia
dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku
kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya
bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam
usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.
Sebenarnya
ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga
berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak
minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air
yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul
membentuk batu karang.
Tanpa air yang
cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik
dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan
saiz otot turut berubah. Paling malang, jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.
Kesan kekurangan cecair
Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:-
- Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
- Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
- Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
- Tekanan darah menurun
- Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
- Lesu pada waktu siang
- Sakit belakang
- Dehidrasi
- Sakit kepala
- Memperlahankan kadar metabolisma
- Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
- Sendi dan otot mengalami kekeringan
- Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
- Meningkatkan keinginan untuk makan
- Darah menjadi pekat
- Mudah keliru.
- Degupan jantung meningkat
- Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan
0 comments:
Post a Comment