Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, June 15, 2012

Orang Ramai Resah Bil Elektrik Melambung Tinggi

SHAH ALAM, 15 JUN : TV Selangor menerima beberapa panggilan daripada orang ramai yang mengadu sejak kebelakangan ini mereka menerima jumlah bil elektrik yang tinggi melebihi dari kebiasaan.
Ini kerana mereka memaklumkan kadar penggunaan adalah biasa dan mereka tidak dimaklumkan berkenaan sebarang kenaikan tarif elektrik daripada pihak kerajaan mahupun Tenaga Nasional Berhad(TNB).

Respon kepada masalah ini, wartawan TV Selangor melakukan tinjaun bagi mencari punca keresahan di kalangan orang ramai.

Seorang Guru, Affizee Awang Ramain, 28, dari Subang, menjelaskan bil elektrik diterimanya mengalami kenaikan yang agak tinggi dan ini menimbulkan keraguan.

“Saya dan keluarga menggunakan elektrik seperti biasa tetapi kenapa bacaannya begitu berbeza daripada biasa. Kenaikan dicatatkan begitu mendadak dan ia seharusnya dikaji semula oleh pihak berkuasa.

“Penggunaannya sama dengan perkakas elektrik yang sama tetapi kenaikannya tinggi. Saya harap pengguna seperti kami tidak dibebankan dengan keadaan sebegini yang terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi,” katanya.

Menurutnya, bila elektrik terbaru diterima mencatatkan kenaikan kira-kira 25 peratus berbanding sebelumnya.

Mohamad Radzi Ho Abdullah, 54, dari Alam Megah juga sependapat bahawa ketika ini kenaikan tarif elektrik begitu tinggi berbanding kebiasaannya.

“Saya tinggal bersama isteri dan anak seramai enam orang dan penggunaan elektrik di sekitar RM160 sebulan. Namun kini ia telah meningkat melebihi RM200. Kenaikan ini amat membebankan kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan TNB perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Menurutnya, kenaikan tarif elektrik secara mendadak itu secara tidak langsung mendatangkan beban kepada rakyat sebagai pengguna.

“Saya telah menerima hampir 10 aduan mengenainya dan TNB perlu membuat penjelasan mengapa ianya berlaku. Apa yang boleh dipercayai adalah kerajaan memberikan arahan kepada TNB untuk mengeluarkan bil elektrik dua bulan sekali dan saya fikir apa yang berlaku sekarang terlalu besar sehingga merumitkan orang ramai.

“Saya tidak faham mengapa kos bil elektrik ini naik secara begitu mendadak,” katanya.-Selangorku

0 comments: