Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini melahirkan rasa murka terhadap
bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang
mengkritik tindakan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 menerusi laman Twitter, baru-baru ini.
Sultan Ibrahim bertitah tindakan Mohammad Nizar itu juga merupakan satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor dan baginda berharap anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu sedar mengenai kesilapannya.
"Baru-baru ini ada pemimpin politik yang secara terang-terangan mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek akalnya?
"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar. Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik? Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar, di Nusajaya, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah setiap tindakan yang baginda lakukan adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan baginda berharap setiap kebajikan yang baginda lakukan tidak perlu diperbesarkan.
Sehubungan itu, baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan selaras dengan kata pepatah "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar".
"Saya harap dia (Mohammad Nizar) sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor dan bukannya kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya," titah baginda sambil mengucapkan terima kasih kepada anggota gabungan badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Johor yang memberi sokongan serta menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi.
Sementara itu, Sultan Johor bertitah baginda bersyukur kerana seluruh rakyat di negeri ini mengecapi hidup dalam suasana yang aman dan menikmati kesejahteraan yang lebih baik hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berterusan.
Baginda bertitah, Johor mencapai pelaburan lebih RM2 bilion dalam suku pertama tahun ini manakala Iskandar Malaysia pula merekodkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM87.56 bilion untuk tempoh tahun 2006 sehingga Mac lepas.
"Lebih 30 peratus daripada nilai projek permulaan di seluruh negara yang dilaburkan di negeri ini membolehkan Johor menceburi bidang baru iaitu minyak dan gas yang sekaligus akan menjadi penjana ekonomi utama di selatan negeri ini.
Oleh itu, kerajaan perlu memastikan rakyat dilengkapi dengan kemahiran di semua peringkat termasuk profesional, teknikal dan vokasional untuk membolehkan mereka menjadi tenaga kerja di bidang-bidang baru ini," titah baginda.
Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak supaya terus mengekalkan perpaduan memandangkan ada sesetengah pihak yang berusaha untuk menggugat perpaduan rakyat demi kepentingan politik yang sempit.
Sultan Johor bertitah pihak berkenaan sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara.
"Ingatlah bahawa perpaduan merupakan asas wujudnya negara ini dan kemajuan yang kita peroleh adalah hasil daripada perpaduan yang wujud sejak dulu lagi.
Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah "musang yang berbulu ayam" ini," titahnya.- Bernama
0 comments:
Post a Comment