Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, March 5, 2010

Struktur Subsidi Minyak Batal ke Tangguh?


Kerajaan semalam membatalkan rancangan pelaksanaan penstrukturan semula sistem subsidi petroleum, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna kerajaan tidak akan memperkenalkan dua harga petrol berbeza bagi warga Malaysia dan bukan warga negara yang membolehkan kerajaan berjimat lebih RM2 bilion perbelanjaan subsidi.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan membatalkan rancangan itu ekoran maklum balas serta respons yang negatif yang diterima daripada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan tidak mahu memperkenalkan dasar penting yang tidak mendapat sokongan atau tidak diterima oleh rakyat.

'Keputusan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan mengambil perhatian berhubung pandangan dan kebimbangan orang ramai.

'Walaupun tidak baik untuk ekonomi negara tapi apabila dengar pandangan dan kebimbangan daripada rakyat, kerajaan prihatin dan mengutamakan rakyat.

'Kerajaan tidak mahu buat satu pelaksanaan yang tidak disokong oleh rakyat kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat,' kata Datuk Seri Ismail.

Cadangan sistem subsidi baru minyak itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lalu bagi memastikan manfaatnya dinikmati kumpulan sasaran.

Harga semasa petrol RON95 sekarang ialah RM1.80 seliter, manakala RON97 dan diesel masing-masing dijual RM2.05 serta RM1.70 seliter.

Sebelum ini, dilaporkan sistem baru itu yang bakal dilaksanakan pada 1 Mei ini membabitkan pembelian menggunakan MyKad di semua stesen minyak bagi membezakan pembeli rakyat setempat dan warga asing.

Harga subsidi yang dinikmati juga berbeza berdasarkan kapasiti enjin kereta.

'Buat masa ini, warga asing masih boleh membeli minyak berdasarkan harga pam tetapi dasar pembelian minyak di kawasan sempadan masih kekal,' kata Datuk Seri Ismail.

Disember lalu, kerajaan mengumumkan akan menghadkan penjualan minyak diesel dan petrol dengan menguatkuasakan larangan penjualan minyak melebihi 20 liter kepada setiap kenderaan dari luar negara itu di kawasan dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara tersebut dalam masa terdekat ini.

Semalam, Datuk Seri Ismail menolak tanggapan bahawa penstrukturan semula sistem subsidi petroleum dibatalkan kerana ia sukar dilaksanakan.

Menurut beliau, satu kajian yang dijalankan malah menunjukkan penggunaan MyKad tidak menyukarkan atau menyebabkan para pemilik kereta beratur panjang di stesen minyak .

0 comments: