Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, August 26, 2011

Ahli Kimia Kerajaan Buat Kesilapan Besar Dalam Menguji DNA Dan Menyebabkan DSI Anwar Diputuskan Sebagai Lelaki "Y"

Kes liwat Anwar: Profil DNA lelaki Y tercemar, kata pakar Australia

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Pakar dari Australia memberitahu mahkamah hari ini bahawa seorang saintis telah melakukan kesilapan ketika mengendalikan ujian profil DNA yang pihak pendakwa telah gunakan untuk mengaitkan tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Dr Brian McDonald, saksi keempat pasukan pembela berkata, ahli kimia kerajaan Nor Aidora Saedon (gambar) telah melakukan kesilapan besar dalam kiraan pada ujiannya sehingga menyebabkan Anwar telah diputuskan sebagai “lelaki Y”, profil DNA yang didakwa ditemui pada dubur pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Apa yang anda ada ialah campuran profil. Beliau melaporkannya sebagai satu profil tunggal,” kata Dr McDonald di Mahkamah Tinggi hari ini.

Kata beliau, Nor Aidora telah mencampur aduk garis panduan menjalankan proses ujian profil DNA, sehingga menyebabkannya memperoleh bacaan yang salah.

Perbicaraan membabitkan Ketua Pembangkang ini telah diberikan butiran analisis DNA secara terperinci termasuk penjelasan mendalam bagaimana untuk menanda dan membaca keputusan analisis.

“Jika ujian-ujian ini dijalankan di sekolah, beliau sudah pasti telah gagal,” kata beliau lagi.

Pada Februari lalu, pasukan guaman Anwar berhujah dengan mempersoalkan profil-profil DNA yang diperoleh hasil ujian ke atas tuala.

Tuala itu diberikan kepada Anwar ketika ditahan di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur tiga tahun lalu selepas dituduh meliwat Mohd Saiful.

Peguam pembela Ramkarpal Singh Deo berkata berdasarkan ujian “electropharogram” yang dijalankan oleh Nor Aidora ke atas tuala itu, analisis menunjukkan bahawa ada dua profil DNA — satu Lelaki Y dan satu lagi tidak diketahui profilnya.

Ketika memberi keterangan pada 23 Februari lalu, kata Nor Aidora, profil-profil DNA yang ditemui pada barang tersebut sepadan dengan lelaki tidak dikenali “lelaki Y”, yang spermanya diperoleh dari dubur Saiful.

Keterangan pakar itu akan disambung esok.

Mustahil Sperma Dikesan Selepas 8 Jam

KUALA LUMPUR 25 OGOS: Adalah mustahil sperma yang banyak dapat dikesan selepas terdedah lebih daripada lapan jam menurut konsultan molekular genetik dari Australia, Dr Brian Mcdonald.

Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari in berkata jumlah sperma akan merosot selepas dibiarkan terdedah.

Justeru pasukan peguambela meragui sekiranya pakar DNA Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong (gambar) menjalankan ujian keatas spesimen sperma yang sama diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan.

"Sekiranya sperma diuji selepas 100 jam (tanpa simpanan betul), adakah kemungkinan ujian akan mencatatkan bacaan negatif?" tanya Ram.

"Benar. Kemungkinan bukan sampel yang sama berdasarkan sejarah kajian," jawab Brian.

Pada sebelah pagi, mahkamah dikejutkan dengan penemuan makmal di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) tidak mendapat pensijilan ISO17025 yang dikeluarkan oleh American Society of Crime Laboratories Directors (ASCLD).

Perkara yang didedahkan Brian itu menyatakan bahawa mana-mana makmal yang menjalankan ujian DNA harus mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa.

Namun difahamkan makmal JKM di mana ujian sperma kes liwat Saiful dijalankan gagal memperoleh sijil ISO setelah tamat pada Oktober 2005.

Makmal tersebut yang diberi tempoh lima tahun daripada tarikh tamat untuk memenuhi piawaian masih tidak mendapat pengiktirafan malah diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir Oktober nanti.

Sankara yang ditemui media selepas hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menangguhkan sesi perbicaraan hari ini menyanggah keterangan Seah sebelum ini yang menyatakan jumlah sperma yang banyak berjaya dikesan walaupun telah melebihi 90 jam.

"90 jam masih kata ada banyak. (Seah) perlu jelaskan bagaimana beliau dapat. Ianya mungkin tiada sperma langsung. Itu sebab saya suruh tunjukkan foto (sperma) di mahkamah tapi mereka kata tiada," katanya.

Sesi perbicaraan hari ini turut menyentuh kelalaian Seah memperbetulkan kesilapan tarikh yang dicatatkan pada dua botol spesimen yang mengandungi DNA.

Botol-botol itu dilabel dengan tarikh 26 Jun 2008 sedangkan Saiful membuat aduan di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun tahun yang sama.

Menurut Brian, sebagai pakar DNA, Seah peka terhadap sebarang kecacatan sebelum mengetengahkan kepada umum dengan hasil ujian.

Brian menyifatkan kemungkinan sampel diambil pada 28 Jun atau ianya telah disalah label.

Katanya perbuatan Seah mampu merisikokan nyawa seseorang dan akan dibuang kerja sekiranya ianya berlaku di negara Australia.

Mahkamah bersambung jam 9 pagi esok di mana Ram Karpal akan meneruskan sesi menyoal pakar dari Australia itu. -tvsnews

0 comments: