Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, January 14, 2011

ADUN Komtar kesal tuduhan melulu KIMMA ke atas dirinya

Sumber DD

Adun Komtar, Ng Wei Aik kesal dengan serangan secara bersistematik ke atas keperibadiannya tanpa meneliti insiden di Gat Lebuh Macallum, George Town sehingga mendesak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertindak awal bulan ini.

Menurut Ng, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang hampir meragut nyawa pelanggan-pelannggan restoran nasi kandar menyebabkan tindakan penguatkuasaan dilakukan segera.

“Tindakan penguatkuasaan diambil MPPP untuk mengelakkan sebarang malapetaka yang lebih serius akan berlaku pada pelanggan-pelanggan restoran serta menjamin kepentingan dan keselamatan awam.

“Tidak wujudnya unsur atau niat jahat untuk tindakan-tindakan tersebut diambil,” kata beliau sambil menambah, sebarang tindakan yang diambil oleh MPPP dengan niat murni atau tujuan yang baik perlu disokong oleh semua pihak.

Malapetaka

“Kita tidak ingin tindakan baru diambil selepas sebarang malapetaka yang membawa maut atau menggugat keselamatan nyawa orang awam berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Ng sebelum ini menjelaskan, beliau sanggup melepaskan jawatannya sekiranya terbukti bahawa beliau ada mengeluarkan kenyataan berbaur rasis, seperti yang didakwa.

Minggu lalu, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) mendesak Ng agar memohon maaf berhubung dakwaan beliau mengeluarkan ungkapan seumpama itu 2 Januari lalu.

Ng didakwa berkata, “tutup kedai, balik India” kepada Syed Kasali Mohamed Aliyar, 42, ketika pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang menjalankan operasi menyita barang-barang kedai.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Ng yang turut menunjukkan rakaman video pada hari kejadian.

“Ini jelas satu pembohongan... fitnah dan dakwaan liar yang saya tidak boleh terima,” kata beliau pada sidang media hari ini.

“Jika ada bukti bahawa saya mengatakan kata-kata itu, saya dengan segera akan meletakkan jawatan saya sebagai setiausaha politik,” kata beliau.

Keselamatan rakyat

Ng juga berkata, beliau akan menghantar surat kepada Kimma meminta mereka memohon maaf dalam seminggu atau berhadapan dengan tindakan susulan.

Dalam kenyataannya hari ini, setiausaha politik ketua menteri itu berkata, kerajaan yang bertanggung jawab ada kewajipan untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya supaya tidak terjejas oleh apa-apa kejadian yang bakal berlaku.

Sehubungan itu kata Ng, sehingga kini tiada apa-apa bukti yang dapat menunjukkan bahawa beliau pernah meluahkan sebarang kenyataan yang berbaur perkauman.

“Semua wartawan yang membuat liputan berita pada malam tersebut juga dapat menjadi saksi saya bahawa tidak pernah saya mengeluarkan kata-kata yang mahukan pemilik atau pekerja-pekerja restoran 'balik India'.

“Ini merupakan suatu fitnah dan tohmahan yang liar dan jahat terhadap saya. Tindakan saman mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap saya,” katanya.

0 comments: