Orang
Melayu harus menerima hakikat bahawa DAP tidak pernah mengancam
kedudukan mereka apalagi agama Islam yang jelas diangkat sebagai Agama
Persekutuan dalam perlembagaan negara.
Malah, realitinya kini, semakin ramai orang Melayu menyertai DAP kerana
asakan dan fitnah jahat dari UMNO yang menuduh DAP anti-Melayu dan
anti-Islam tidak benar sama sekali dan bohong.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, walaupun
DAP mempunyai majoriti orang bukan Melayu dan Islam, parti itu tidak
pernah mengancam kedudukan Melayu Islam seperti mana yang termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Hanipa, tohmahan jahat UMNO terhadap DAP sebelum ini bukan
kerana parti itu mahu menjaga Melayu dan Islam tetapi mereka tahu bahawa
perpaduan Pakatan Rakyat (PR) adalah malapetaka bagi mereka.
“Benarkah DAP mengancam kepentingan Melayu? Adakah DAP atau UMNO
sendiri yang mengganggu gugat kedudukan Bahasa Melayu di dalam Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan sehingga kedudukannya sebagai bahasa rasmi
dirombak melalui PPSMI?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Menguatkan hujah itu, peguam bagi PAS ini membangkitkan lagi beberapa persoalan siapakah yang menjadi dalang sebenar hingga menyebabkan kepentingan Melayu dan Islam negara ini terhakis.
“Siapakah yang gagal jaga tanah rezab Melayu yang dijamin oleh
Perlembagaan? DAP atau UMNO? Siapakah yang hancurkan Bank Bumiputra yang
diilhamkan untuk menjaga kepentingan Melayu?
“Siapakah yang enggan menambah kerusi Parlimen dan DUN di negeri Kelantan dan Terengganu supaya boleh menambah kerusi orang Melayu semasa persempadanan semula kawasan pilihanraya dibuat? Siapakah
yang mendera ekonomi majoriti rakyat Melayu di Terengganu dan kini di
Kelantan apabila wang royalti pertroleum di rompak di siang hari tanpa
sekelumit rasa bersalah? DAP atau UMNO?
Ia termasuklah insiden mengheret institusi Raja Berperlembagaan ke kancah politik menjatuhkan kerajaan sah dan Menteri Besar pilihan rakyat di Perak secara terang-terangan.
DAP hormati Islam, galak dan bela pendidikan Islam
Tambah Hanipa, jika DAP tidak menghormati Islam, mengapa pula Pulau
Pinang yang dipimpin Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi peruntukan
lebih besar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari peruntukan kepada
Sekolah Cina dan Sekolah Tamil.
“SAR di bawah negeri yang diterajui DAP memperuntukkan secara purata
RM 97,000 setiap sekolah sedangkan sekolah Cina dan Tamil hanya
diperuntukkan secara purata RM60,000 dan RM63,000 masing-masing bagi
setiap sekolah. Bukankah UMNO sendiri pernah menarik bantuan per kapita
SAR?
“Lim Guan Eng juga mahukan ramai huffaz al-Quran dengan memberi bantuan
kepada madrasah tahfiz selain penghargaan dan pengiktirafan kepada para
penghafal al-Quran.
“Lebih aneh lagi, elaun para imam masjid-masjid di Pulau Pinang jauh lebih tinggi dari elaun imam-imam di negeri-negeri UMNO.
Mengapakah DAP yang dikatakan mengancam Islam suka elaun Imam tinggi
manakala Umno yang “sayang” Islam lebih suka pula elaun Imam rendah?,”
soalnya.
Dalam satu wacana bertajuk “Adakah dasar DAP mengancam Islam” pada Jun
2012 yang lalu anjuran Roketkini.com, panelis dari Universiti Islam
Antarabangsa, Dr Maszlee Malik berkata, setiap orang mempunyai aqidah
atau pegangan yang berbeza, malah Islam mengajar untuk saling memahami
dan hormat-menghormati dan berlaku adil.
“Bagi saya DAP tidak mengancam Islam sebab memperjuangkan nilai
bersama seperti keadilan. Kebanyakan persepsi negatif yang timbul
bersifat stereotaip dan ia dikeruhkan lagi dengan salah faham orang
Islam sendiri terhadap Islam.
“Walau pun DAP telah berevolusi, persepsi itu masih ‘dijual’ sehingga sekarang. Ini sebab kita suka menyamakan Melayu dan Islam wal hal ia berbeza,” jelasnya yang juga pakar dalam bidang politik Islam antarabangsa.
Friday, February 22, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment