Mulai
3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan
harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan
kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada
kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit
kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan
terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."
Saya tidak segera
mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara
hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak
tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan
menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia
selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria,
hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana
jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang
menafikan intelek rakyat.
Jika setakat tujuh negara di atas,
apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di
Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih
murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga
minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau
berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?
Bagi membuktikan
harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM
Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita.
Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan
RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32).
Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata
sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga
minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya
yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah
yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk
mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.
Untuk
pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek
yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita
tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita
bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia?
Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat
teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri
dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta
Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.
Itu belum lagi
kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang
‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di
negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi
rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah
rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion.
Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira
pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.
Kadar
hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah
hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun
2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012.
Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada
kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada
penganalisis kewangan di rantau ini.
Melihat kepada data hutang
isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah
rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga
kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah
begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang
diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan
termurah di dunia.
Saya juga tertarik dengan alasan yang
diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah
untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya:
"Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar
memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini
kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk
rakyat yang berpendapatan rendah."
Saya tidak faham kaitan antara
kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan
kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk
menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika
untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu
diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah
kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan
kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana
kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan
kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak
boleh difikirkan oleh kerajaan?
Oleh sebab itulah, saya menolak
kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah
yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak
naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan
ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan
hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi
mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat
kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada
proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.
Jikapun
hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah
analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan
keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita
memberikan data yang tepat. Begitulah!
Facebook Prof. Dr. Mohammad Agus
Friday, September 6, 2013
Harga Minyak: Prof Agus Tempelak Tim Menteri Kewangan Ahmad Maslan
Posted by Suhaimi at 8:46 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment