Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, September 3, 2013

Rakyat Naik Minyak Apabila Najib Umum Kenaikan Harga Minyak


Ekoran kenaikan harga minyak, stesen minyak di Melaka dirempuh oleh pengguna yang 'naik minyak' ?

Dek kerana pengumuman mengejut oleh kerajaan Malaysia melalui Datuk Seri Najib lewat petang semalam ditambahkan sifat panik dikalangan rakyat Malaysia akhirnya menyebabkan berlakunya kemalangan di stesen minyak Shell Durian Tunggal Melaka.

Rakyat Malaysia terutamanya golongan pertengahan dan yang berpendapatan rendah merasakan kenaikan minyak 20 sen besar impaknya kepada mereka, mengambil kesempatan untuk mendapatkan penjimatan sebanyak mungkin dengan mengisi minyak di stesen minyak berdekatan sebelum bermulanya harga baru minyak RON 95 tengah malam tadi (3 September 2013).

Gambar kemalangan berjaya dirakam di stesen minyak SHELL Durian Tunggal berdekatan dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kes berlaku disalah sebuah stesen minyak Shell di Durian Tunggal, Melaka malam tadi. Berita Semasa dimaklumkan kemalangan berpunca kerana :

* pemilik stesen minyak SHELL Durian Tunggal Melaka tidak mahu menjual minyak petrol RON 95 kepada pemilik kenderaan dengan alasan simpanan minyak mereka telah pun kering.

* Sedangkan, pelanggan di sekitar Stesen Minyak SHELL Durian Tunggal Melaka yang terus menunggu merasakan pemilik stesen minyak itu hendak mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan yang sekali ganda atas nama pengumuman kenaikan harga minyak 20 sen bagi (minyak RON 95 & diesel)

Lagi Gambar Kemalangan Stesen Minyak Shell Durian Tunggal Melaka Semak satu persatu gambar kemalangan di bawah ini untuk paparan yang lebih jelas lagi dalam format galeri gambar :
Disebabkan kerajaan Malaysia mengumumkan kenaikan minyak secara mendadak, stesen minyak pun didakwa mahu mengambil kesempatan akhirnya rakyat Malaysia pun turut “naik minyak” apabila salah satu pam minyak Stesen Minyak SHELL Durian Tunggal Melaka dirempuh & dilanggarnya. Apa respon balas anda pula? -beritasemasa
Kenapa naik sampai 20 sen, rintih rakyat

KLANG: Rakyat mengeluh dengan keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen mulai tengah malam tadi yang dilihat terlalu tinggi.

Tinjauan Harakahdaily di stesen minyak mendapati mereka bukan sahaja perlu menanggung kos tambahan setiap bulan bahkan ada juga yang mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja.

Anuar Ismail, 33, dari Meru merasakan kenaikkan tersebut terlalu besar untuk beliau yang sentiasa berulang dari rumah ke tempat kerjanya di Shah Alam.

"Memang berat untuk saya tanggung kos kenaikkan tersebut setiap bulan, 20 sen bukan satu kos yang rendah dan setiap bulan saya anggarkan kos tambahan untuk minyak sebanyak RM150 hingga RM200.

"Saya pasti kenaikkan ini juga akan menyebabkan barang-barang keperluan lain turut meningkat, rakyat akan terus terbeban,"
jelasnya.

Beliau juga terpaksa mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal ke tempat kerjanya walaupun mengetahui risiko kemalangan amat tinggi bagi pengguna motosikal.

Kamarulzaman Adnan, 30, tidak menolak rakyat bukan sahaja perlu berhadapan dengan kenaikan harga minyak tetapi juga perlu bersedia dengan kenaikan barangan keperluan nanti.

Beliau berkata, kenaikan tersebut juga dilihat tidak seimbang dengan pendapatan rakyat di negara ini yang sentiasa tertekan dengan keadaan ekonomi.

"Amat terasa apabila kerajaan umum kenaikan minyak sebanyak 20 sen, perlu diingat kita bukan hanya menghadapi kenaikan 20 sen tetapi kita perlu bersedia dengan peningkatan kos barang keperluan.

"20 sen adalah satu jumlah yang besar, jika sebelum ini saya berbelanja sekitar RM500 sebulan untuk mengisi minyak, tetapi dengan harga baru ia akan meningkat RM650 sebulan," jelasnya.

Kamarulzaman turut mempersoalkan kenapa kerajaan perlu menaikkan sehingga 20 sen sedangkan kenaikan sebelum ini pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar 5 sen sahaja.

"Kenapa kerajaan tidak dapat mengawal harga sekarang, kita tahu alasan kenaikan disebabkan oleh harga minyak dunia.

"Tetapi jika harga minyak kembali turun adakah kerajaan dapat menurunkan harga tersebut, dengarlah rintih rakyat yang hidup mereka semakin tertekan," kata beliau yang selalu berulang alik dari Shah Alam ke Bukit Kemuning.

Dalam pada itu Tommy, 17, merupakan seorang pelajar turut mengeluh apabila mengetahui keputusan kerajaan menaikkan harga minyak.

Beliau berpendapat jika sebelum kenaikan harga rakyat sudah menanggung beban sara hidup yang amat teruk, apatah lagi dengan harga yang telah diumumkan.

"Memang menyusahkan rakyat terpaksa menanggung beban sara hidup, kita sedia maklum dengan keadaan ekonomi dan kesukaran mendapat pekerjaan bagaimana mereka hendak tanggung kenaikkan kos tersebut.

"Kalau kerajaan itu perihatin mereka akan mendengar keluhan rakyat, sampai bila nak dibebankan hidup mereka. Saya sebagai pelajar turut merasakan bebanan ini.

"Kenaikan jika seimbang dengan pendapat rakyat itu bukan satu masalah, tetapi kita lihat kenaikkan ini amat jauh sekali dengan apa yang rakyat perolehi dengan apa yang mereka perlu belanjakan," jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan malam tadi mendapati beberapa stesen minyak di sekitar Klang mengalami kesesakan akibat pemandu yang mahu mengisi RON95 pada harga RM1.90 sebelum naik kepada RM2.10 selepas tengah malam.

Kenaikan harga minyak disambut dengan kemarahan

Ribuan rakyat Malaysia beratur di hampir semua stesen minyak malam tadi menjelang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sekaligus menaikkan kemarahan orang ramai kerana pemotongan subsidi itu.

Kebanyakan pengguna yang ditemui di Lembah Klang menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana menaikkan harga bahan bakar itu di saat rakyat terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang makin meningkat dari hari ke sehari.

Janji Putrajaya untuk meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2014 tidak memberikan kesan kepada penduduk Lembah Klang kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerimanya dan bantuan itu hanya diterima sekali sedangkan kesan kenaikan itu terpaksa ditanggung setiap hari.

Pemberian wang tunai RM500 itu sebelum ini diberikan kepada lima juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Shahrulnizam Mohamad, 29, berkata kenaikan harga minyak bermula tengah malam tadi dijangkakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana umumnya rakyat mengetahui Pakatan Rakyat (PR) akan menurunkan harga bahan bakar itu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

"Kenaikan harga ini sangat memberi kesan kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana kenderaan seperti kereta memainkan peranan penting kepada orang awam. Dengan kenaikan harga barang ini, peniaga juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang," katanya.

Sementara itu, K Primela, 35, berkata kerajaan tidak wajar menaikkan harga petrol sewaktu rakyat sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang selepas musim perayaan.

"Kerajaan BN 'bijak' mengambil kesempatan selepas beberapa bulan pasca PRU13 untuk menaikkan harga minyak. Sebelum pilihan raya berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak, tetapi kemudian lain jadinya. Apatah lagi kini rakyat sudah mula dibebankan dengan kenaikan harga barang. Gaji tidak pula catat kenaikan tapi harga minyak pula yang naik.


"Rakyat sendiri dapat perhatikan perbuatan buruk kerajaan BN apabila belum sampai setahun mendapat mandat menerajui negara, sudah tampil dengan pendekatan membebankan rakyat. Selepas ini, apa pula yang kerajaan nak naikkan,” katanya, ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri, Klang malam tadi.

Lim Tai Boon, 46, yang ditemui di tempat sama juga melihat kenaikan harga minyak sebagai permainan politik kerajaan BN.

"Dulu sebelum pilihan raya janji tidak naikkan harga minyak. Lepas BN menang pilihan raya, lain pula ceritanya. Perkara ini memang tidak patut, menyusahkan rakyat," katanya.

Pengguna turut kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu kerana tempoh makluman yang diberikan singkat untuk pengguna bertindak.

Tengku Zarul Tengku Lokman, 37, berkata kenaikan 20 sen seliter satu tindakan kejam yang dilakukan kerajaan kepada rakyat sambil menjangkakan harga barang keperluan asas lain turut meningkat ekoran kenaikan harga bahan bakar.

"Saya tahu mengenai kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial Facebook. Media kerajaan melalui televisyen dan radio tidak komited dengan pengumuman itu. Esok bila sudah naik, baru hendak disiarkan. Itu yang jahatnya kerajaan enggan memaklumkan terlebih awal," katanya.

Amir Azri, 26, pula membayangkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan kadar pemberian BR1M tidak praktikal kerana saguhati itu diberikan sekali sahaja tetapi perbelanjaan petrol adalah keperluan harian.

"Kadar BR1M yang diterima tidak setimpal dengan kenaikan harga minyak. BR1M adalah wang pembayar cukai, justeru wang rakyat juga yang digunakan untuk menjayakan wang saguhati itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel semalam, menjelaskan kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.

Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel," kata Najib selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Pejabat Perdana Menteri.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel naik pada tahun 2010, iaitu mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.

Najib menegaskan langkah itu bagi memastikan sasaran kerajaan mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun 2020.

Perdana menteri memberikan alasan langkah pengurangan subsidi itu bertujuan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kaya dan warga asing.

Katanya, Malaysia perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas sambil menjelaskan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung subsidi bahan api sebanyak RM24.8 bilion untuk tahun ini.

Bagi memastikan kelompok yang lebih memerlukan ini menikmati subsidi, Najib juga mengumumkan pentadbirannya berjanji akan meningkatkan pemberian wang tunai BR1M yang akan diumumkan semasa pembentangan bajet 2014 nanti.
-TMI

0 comments: