Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan
Eng berkata, hanya dengan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing
dan menentang rasuah negara akan dapat menjimatkan wang sebanyak RM51
bilion setiap tahun.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
juga boleh meyakinkan orang ramai akan keikhlasan beliau dan keperluan
menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter untuk menjimatkan
kos subsidi tahunan sebanyak RM3.3 bilion.
Beliau berkata, tanpa langkah yang menunjukkan komitmen Kerajaan
Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah
mempertikaikan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk
mengurangkan kos sebagai palsu.
“Mengapa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, perlu
menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana peningkatan
harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun politik yang
mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada wang negara,” katanya ketika
berucap kepada Diaspora Pulau Pinang di Hong Kong, yang diterbitkan di
Komtar, semalam.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan pengalaman
tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh kerajaan negeri Pakatan
Rakyat (PR) Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya penjimatan 25%
setahun boleh dicapai daripada kontrak perolehan kerajaan.
“Lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab aset sebanyak
50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rekod 95%
membuktikan keberkesanan langkah integriti daripada tender terbuka yang
berdaya saing kepada pengisytiharan aset awam.
“Dengan anggaran RM201 billion kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan
setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51 bilion.
“Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu sisi tetapi
membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan tidak memberi
tumpuan kepada potensi penjimatan RM51 bilion yang memberi manfaat
kepada hanya beberapa kroni kaya dan bukannya memaksa 28 juta rakyat
Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol,”
tambahnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bukan sahaja Kerajaan
Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, sebaliknya mereka cuba
mengalihkan perhatian daripada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan
dengan memainkan isu perkauman, sentimen agama dan pelampau.
Menurutnya, taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan jayanya oleh
BN untuk mengelak daripada mendepani empat masalah sebenar Malaysia,
iaitu jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap isi rumah
serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran tenaga
buruh Malaysia.
“Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal pasti empat isu
utama ini yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau kurang berdaya
saing.
“Mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan Persekutuan BN
bersedia membenarkan polis memerangi jenayah dan bukannya memantau
pemimpin pembangkang.
“Pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang terbabit dalam
penyiasatan jenayah. Jika jumlah ini meningkat kepada 50% daripada
pasukan polis keseluruhannya, saya pasti polis akan dapat menumpaskan
penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Guan Eng berkata, BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan kini 54%
daripada KDNK, bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin kerajaan
yang akan meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada 70%.
Katanya, jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK.
“Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan pinjaman fiskal
melulu sebagai jalan keluar mudah daripada masalah negara kita. Kerajaan
Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada setiap
isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.
“Kerajaan Persekutuan juga gagal melabur untuk masa depan tanpa melabur
dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing dalam bidang
teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut tentang kemerosotan
kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di semua peringkat,
terutamanya penguasaan lemah Bahasa Inggeris.
“Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan semata-mata dan
bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik dan bukannya
prestasi dan retorik kosong dan bukannya tindakan konkrit, Malaysia
berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing berteknologi
tinggi tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke negara lain
seperti Hong Kong,” tambahnya.
Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berani menawarkan model
di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar belakang politik,
di mana usaha dibuat untuk menarik institusi pendidikan yang berkualiti
di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan yang jujur dan cekap
melalui perkongsian dengan sektor swasta dan sektor awam serta sebuah
bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh memberikan
penyelesaian kepada empat masalah yang disebut di atas. -Roketkin
Sunday, September 8, 2013
Saran BN bertindak terhadap penyamun politik curi wang negara RM51 bilion setahun
Posted by Suhaimi at 12:53 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment