Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, May 9, 2011

MB Kedah mahu kementerian sendiri merayu

http://www.marsah.edu.my/ver/images/stories/logo_mohe.jpg
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersetuju menimbang rayuan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia, (UUM) jika Kementerian Pengajian Tinggi bertemu sendiri dengan beliau.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno Kedah Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata perkara tersebut disampaikan kepada beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar itu hari ini.

"Saya akan melakukan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin agar rayuan ini dapat dipercepatkan dan sekali gus dapat menyelesaikan masalah ini," katanya pada sidang media di Alor Setar.

Beliau berkata Azizan telah menerima surat rayuan UUM itu dan telah menyerahkannya kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk pertimbangan, namun permohonan tersebut ditolak.

"Ini kerana permintaan selama lima tahun yang dibuat universiti itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan negeri hampir RM8 juta setahun," katanya.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Abdul Aziz berkata Azizan bersetuju perkara berkenaan dibincangkan pada mesyuarat kerajaan negeri dan PTG dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Terdahulu, Abdul Aziz menyerahkan surat rayuan Badan Perhubungan Umno Kedah kepada Azizan untuk dipertimbangkan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu rebat tanah UUM itu.

Sebelum ini rayuan UUM untuk menyambung semua rebat cukai tanahnya ditolak oleh PTG negeri menyebabkan pihak universiti itu terpaksa membayar cukai tanah sebanyak RM1.74 juta setahun berbanding hanya RM100,000 setahun.

Dalam pertemuan itu, Abdul Aziz juga memohon kepada kerajaan negeri supaya tidak menyifatkan cukai tanah dari UUM, Universti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan juga Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai punca pendapatan kerajaan negeri.

"Kita tahu kerajaan negeri menghadapi kekangan sumber kewangan untuk menguruskan negeri tetapi mereka perlu mencari sumber pendapatan lain bagi memastikan mempunyai dana yang cukup bagi mengurus kerajaan," katanya.

Sementara itu, Azizan ketika dihubungi berkata beliau bersedia mempertimbangkan rayuan tersebut, tetapi permohonan mestilah dilakukan dengan saluran yang betul.

"Biarkan Kementerian Pengajian Tinggi membuat permohonan kepada kami dan kami akan pertimbangkan. Saya bukan orang yang tidak boleh dibawa berbincang namun ia kena dibuat mengikut saluran yang betul.

"Kementerian Pengajian Tinggi yang perlu buat permohonan kepada kerajaan negeri dan saya akan pertimbangkan perkara ini," katanya.

--Bernama

0 comments: