Oleh ONG TEE KIAT
Dalam persada politik negara ada banyak isu, baik yang sahih mahupun palsu. Sahih - kebanyakannya berkisar kepentingan kaum, agama dan awam. Isu palsu lazimnya tidak timbul, sebaliknya sengaja diwujudkan semata-mata untuk menakut-nakutkan atau memporak-perandakan masyarakat demi kepentingan politik pihak tertentu yang sempit.
Dalam bahasa Inggeris, istilah bogeyman merujuk kepada ‘benda yang menakutkan’. Dalam kehidupan saban hari, bogeyman sering diguna pakai tidak lain daripada hantu.
Demikian juga, beberapa ketika dulu, bila Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew menyatakan, Singapura kemungkinan terpaksa bergabung kembali dengan Malaysia sekiranya daya saing republik bandar itu kurang menyerlah. Kemungkinan dimaksudkan juga disamakan dengan bogeyman kerana kita menyedari motif Lee bukanlah hendak bergabung dengan Malaysia, tetapi semata-mata berniat menakutkan, atau sekurang-kurangnya mengejutkan rakyat Singapura agar tidak leka dalam pembangunannya.Dalam perspektif Malaysia, bertambahnya ketewasan calon BN dalam PRU 12 pada 2008 pernah disifatkan sebagai petanda kehakisan kuasa kaum Melayu. Demikian juga, berikutan kekalahan teruk SUPP dalam kawasan DUN yang majoriti pengundinya kaum Cina baru-baru ini, kaum Cina pula dijadikan bogeyman kerana mereka didakwa kononnya tamak kuasa politik selepas menguasai ekonomi negara.
Dengan kewarasan dan kesedaran kita yang sedia ada terhadap perkembangan politik negara, kedua-dua dakwaan polemik dimaksudkan sememangnya boleh dipertikaikan. Meninjau dari kaca mata kuasa politik Melayu secara keseluruhan, dan bukannya dari perspektif parti, komposisi kaum dan demografi yang terlibat dalam persempadanan kawasan pilihan raya cukup untuk memastikan dominan kuasa kaum Melayu di Malaysia.
Begitu juga, tertewasnya calon Cina SUPP (BN) kepada DAP di beberapa DUN pun tidak dapat merubah bilangan ADUN keturunan Cina di Sarawak. Justeru, mustahillah kemenangan DAP di beberapa kawasan DUN itu menandakan tamak kuasa politik kaum Cina. Kesimpulan lebih tepat dan meyakinkan adalah terhakisnya pengaruh SUPP dalam masyarakat Cina Sarawak dan BN.
Sama ada kenyataan berunsurkan bogeyman itu berjaya mengejut atau menakutkan kaum sasarannya adalah soal lain, namun untuk mencapai matlamat “terapi politik kejutan” itu, pihak bertanggungjawab sebenarnya telah mengkompromikan komitmen mereka terhadap pemantapan perpaduan kaum dan integrasi negara. Dalam erti kata lain, kenyataan mereka telah menggores perasaan masyarakat Cina kerana hak dan kebebasan mengundi bagi setiap warganegara tanpa mengira kaum dan agama tidaklah patut dipertikaikan sama sekali.
Padahal kebelakangan ini telah memperlihatkan semakin banyak isu palsu diketengahkan untuk melaga-laga pihak yang berkenaan. Sekiranya ia tidak dikupas mengikut logik dan perspektif rasional, mudah kita dikuasai emosi kaum atau agama dan seterusnya terjebak kepada pertelingkahan sosial yang akan mengganggu-gugat perpaduan sedia terjalin.
Umpamanya, soal status agama Islam yang berbangkit baru-baru ini. Sama ada liputan akhbar yang menyemarakkan sentimen kali ini sahih atau tidak, isu itu tetap tidak patut timbul kerana ia tidak menimbulkan sebarang perselisihan di kalangan pelbagai agama.
Baik dari sudut Perlembagaan Persekutuan ataupun komposisi kaum dan penganut agama, tidaklah masuk akal sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berikhtiar agar menegakkan satu pemerintahan yang berteraskan agama minoriti.
Isu pendidikan pula, rintihan dan tuntutan kumpulan pendidik Bahasa Cina juga ternyata diperalatkan sebagai bogeyman bila suara itu disifatkan satu-satunya yang mampu mencabar atau mengganggu-gugat status Bahasa Malaysia.
Walaupun rintihan dan tuntutan berkenaan mungkin mudah menyinggung perasaan pihak tertentu, namun tidaklah relevan dan sahih andainya itu disamakan dengan pencabar atau pengancam Bahasa Malaysia.
Mungkin segala helah yang ghairah mengeksploitasikan isu sebagai bogeyman itu bermotifkan politik pilihan raya. Tetapi apakah kita sanggup mengorbankan perpaduan dan keharmonian yang kita usahakan sekian lama semata-mata untuk meraih kemenangan dalam PRU 13? Jika benar, maka jelaslah segala laungan perpaduan dan keharmonian pemimpin-pemimpin politik itu hanyalah sekadar hiasan hipokrit saja. Kemenangan pilihan raya sedemikian bukanlah satu-satunya yang membanggakan
0 comments:
Post a Comment