Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, September 27, 2011

Allah SWT sentiasa diingati dalam keadaan senang, susah

Oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat

http://pinkturtle2.files.wordpress.com/2008/08/nik2.jpg
NABI s.a.w. bersabda menjelaskan; bahawa amalan yang terbaik sekali ialah orang mati keadaan lidahnya masih basah dengan menyebut nama Allah SWT.

Ertinya zikrullah semasa hayatnya hingga berada di ambang ajalnya.Janganlah hanya semasa atau selepas solat berwirid zikrullah dengan rancak, tetapi aktiviti kehidupan selepas itu tiada bezanya antara halal dan haram.

Orang berzikrullah waktu senang atau susah, waktu sihat atau sakit hampir ajal pun lidah basah menyebut nama Allah SWT. Siapa yang mampu beramal begitu bererti beramal dengan amalan yang paling afdal.

Insan di ambang maut tidak mudah menyebut nama Allah SWT, kecuali membiasakan zikrullah ketika dirinya masih sihat.

Ketika itu meskipun di saat sakaratul maut, detik yang paling kritikal, insya- Allah lidah akan terus bergerak menyebut nama Allah dengan Taufik-Nya.

Meskipun Islam anjur agar ditalkin kepada orang sedang menghampiri ajalnya dengan menyebut kalimah “Lailaha illallah,” ketika yang genting itu tidak mudah bagi orang yang menghampiri ajal itu untuk turut walaupun dibimbing, kecuali dengan rahmat Allah SWT.

Orang yang sihat segar pun jika enggan mengikut seruan Nabi dan nasihat ulama, belum pasti boleh menuruti walau dibimbing. Inikan pula orang yang berada di pinggir ajalnya, kecuali bagi mereka yang melazimkan berbuat demikian.

Lantaran ingatannya kepada Allah SWT terlalu mendalam semasa hayatnya, insya-Allah akan digerakkan lidah dan hatinya dengan rahmat Allah SWT.

Tidak mudah untuk mendapat “husnul khatimah”, jangan fikir disebab ada orang yang membimbingnya lalu mudah untuk menyebutnya.

Malah ramai orang yang gelengkan kepalanya ketika ditalkinkan (diajar) menyebut kalimah Toyyibah. Kerana ketika yang sama syaitan yang menjadi musuh manusia sejak zaman nabi Adam a.s., dengan gigih ambil peluang terakhir untuk menyesatkan manusia.

Syaitan datang menjelma dengan menyerupai ibu bapanya atau siapa sahaja, yang telah mati dengan pelbagai dorongan yang salah.

Antara hasutan syaitan ialah jika hendak selamat daripada api neraka, hendaklah menyatakan sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.

Jika hasutan syaitan yang menyerupai ibu dan bapanya itu dipatuhi, jelaslah mereka menjadi tawanan syaitan dan menjadi temannya dalam neraka. Wal’iyazabillah.

Hanya orang mukmin yang sebenar akan dapat menyelamat imannya daripada hasutan syaitan laknatullah itu, ketika itu dia boleh lawan syaitan dan boleh hujjah kembali bahawa perkara didakwa itu amat bercanggah dengan yang telah dipelajari dari Islam sepenuh keyakinan.

Telah berfirman Allah SWT dengan hadis Qudsi yang bermaksud: “Apabila seorang hamba mengingati-Ku dalam dirinya, Aku pun ingat akan dirinya. Apabila dia dalam ramai mengingati- Ku, maka Aku pun mengingati dia serta jemaahnya pada khalayak ramai (para malaikat) dengan lebih baik lagi.”

Menyebut nama Allah SWT di hadapan orang ramai suatu fadilat, terutama bagi mereka yang terlibat di lapangan mengajar berceramah dan berdakwah, apabila mengajar tanpa menyebut nama Allah SWT dianggap amat rugi.

Bukan guru agama sahaja bahkan guru akademik pun mempunyai peluang untuk menyebut nama Allah SWT jika mereka kreatif.

Misalnya guru matematik yang berjiwa Islam ketika menyebut angka angka tertentu, seperti angka satu boleh dieksploitasi dengan menyatakan bahawa Allah SWT itu Maha Esa iaitu satu atau tunggal tiada bandingan.

Begitu juga angka tujuh, bolehlah guru tersebut ambil peluang dengan menyatakan bahawa langit ciptaan Allah SWT juga mempuinyai tujuh petala (tingkat).

Setiap tingkat mempunyai pintu yang dikawal rapi oleh malaikat tertentu, untuk mengawasi amalan manusia sama ada layak dibawa mengadap Allah SWT atau sebaliknya.

Dengan menyebut nama Allah SWT di khalayak ramai, berdasar janji-Nya dalam hadis Qudsi itu akan melayakkan dirinya diingati oleh Allah SWT pula di hadapan para malaikat-Nya.

Dengan ingatan yang lebih baik kerana guru tersebut mengingati- Nya di hadapan manusia, tetapi Allah SWT mengingati dia di hadapan halayak para malaikat yang lebih setia kepada-Nya.

Seorang tabi’in yang masyhur bernama Hasan al-Basri berkata yang bermaksud: “Zikir itu ada dua kedudukan, ingatan manusia kepada Allah SWT sama ada ketika beribadat atau berzikir, justeru alangkah banyaknya pahala.”

Tetapi ada satu lagi zikir yang lebih baik, iaitu zikir kepada Allah SWT ketika Dia menjelaskan sesuatu yang hukumnya “haram”.

Dengan sebab ingatan yang kuat kepada Allah SWT menyebabkan dia tidak berani melanggar sesuatu yang hukumnya haram itu.

Sekadar berzikir dengan bertasbih dan istighfar belumlah teruji kerana tiada cabaran, ujian dianggp berat ketika berdepan dengan hukum haram. Lebih lebih lagi terhadap sesuatu yang ada kepentingan diri.

Jika berjaya menolak perkara yang diharamkan Allah SWT itu, barulah dia terbukti sebagai mukmin yang sebenar.

Berjaya menolak sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT, sedangkan perkara tersebut merupakan kepentingan buat dirinya. Maka inilah yang sebenarnya “Zakir lilLah” iaitu ingat kepada Allah SWT yang sebenar jujur dan ikhlas. Itulah zikir yang paling baik, iaitu zikir yang mampu menyekat manusia, daripada perkara yang dibenci oleh Allah SWT.

0 comments: