BAGAIMANA tergamak seorang gadis berusia 19 tahun yang bersekolah di Maahad Tahfiz dibakar dan dicampak tanpa belas kasihan di tepi jalan raya. Seorang remaja berusia 16 tahun pula mendakwa dikurung, diberi dadah dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki.
Keruntuhan moral ini bukan sekadar membabitkan remaja, malah isu ibu bapa yang ditinggalkan di rumah kebajikan dan kes perceraian semakin meningkat dari semasa ke semasa mengundang pelbagai perbahasan untuk difikirkan bersama kaedah penyelesaian terbaik.
Adakah suasana persekitaran kita semakin bahaya, sentiasa terbuka kepada pelbagai jenayah dan boleh berlaku dalam masa yang begitu pantas? Adakah keamanan dan kasih sayang sudah semakin hilang dalam hidup masyarakat Malaysia hari ini?
Semua rakyat Malaysia perlu memikirkan bagaimana cara dan kaedah mewujudkan semula suasana harmoni dalam masyarakat kerana suasana persekitaran berperanan besar dalam menentukan buruk baik kehidupan manusia keseluruhannya.
Setiap individu Muslim perlu menekankan kepada persekitaran baik bagi membentuk kehidupan diredai Allah SWT. Justeru, melakukan kebaikan setiap detik dan masa harus menjadi agenda utama dalam melayari bahtera kehidupan.
Ibu bapa yang baik budi pekerti akan menunjukkan contoh baik kepada anak bagi membentuk sebuah keluarga bahagia dan masyarakat yang baik membantu kehidupan manusia berada di landasan baik.
Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka usahakan. (Surah al-Araf, ayat 96)
Al-Quran dan hadis sarat dengan pelbagai galakan supaya manusia sentiasa melazimi kebaikan dalam kehidupan sehari-hari. Neraca inilah yang menjadi pertimbangan kepada jatuh bangunnya sebuah peradaban manusia.
Lipatan sejarah jelas menunjukkan akhlak mulia setiap lapisan masyarakat menjadi teras kepada kemenangan dalam perjuangan.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. (Hadis riwayat Ahmad)
Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor terpenting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.
Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad saja yang tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.
Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia kini.
Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah rumah dan samun bermaharajalela setiap hari. Harus bagaimana memastikan anak muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?
Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya manusia tidak hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak sopan dan hidup dalam acuan tidak Islam.
Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat. Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun niat itu sendiri sudah mendatangkan pahala kepada pelakunya.
Atas rahmat dan kasih sayang Allah, pasti akan memberikan balasan setimpal atas niat dan keinginan hati seseorang.
Ketinggian sifat Pengasih Allah SWT ini dikurniakan juga walaupun kebaikan itu tidak dilaksanakan, malah jika berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak ditunaikan juga akan diberi pahala oleh Allah SWT.
Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menuliskan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia telah menerangkannya akan hal itu. Barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dilakukannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita untuk membuat kebaikan dan melaksanakannya, maka Allah akan menuliskan baginya 10 sehingga 700 kali ganda kebaikan malah berlipat-lipat kali ganda.
Barang siapa pula yang bercita-cita untuk melakukan kejahatan tetapi tidak beramal dengannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan, dan jika ia bercita-cita untuk melakukan kejahatan dan dilaksanakan kejahatan itu, maka Allah hanya akan menuliskan baginya satu kejahatan saja. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Amal salih adalah syarat utama untuk menemui Allah di akhirat kelak dengan hati yang penuh ketundukan kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang ingin bertemu Tuhannya (di akhirat kelak), maka hendaklah ia melakukan amal soleh dan tidak mensyirikkanNya dalam setiap amal ibadahnya. (Surah al-Kahfi, ayat 110)
0 comments:
Post a Comment