Oleh MOHAMMAD ZAKI YAHPAR YAHYA AL-MUARI
SEBULAN pada bulan Ramadan, kita telah berjaya mengekang nafsu dengan ‘ketiadaan’ syaitan. Kita telah melakukan banyak amal ibadah dengan sebab keberkatan bulan ini. Pada waktu siangnya kita menahan diri daripada perkaraperkara yang membatalkan puasa termasuklah makan dan minum.Kita telah pun masuk di bulan Syawal iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Jika dalam bulan Ramadan, kita dijamu dengan pelbagai hidangan pada waktu berbuka puasa. Dengan adanya ‘bazar Ramadan’, majlis berbuka puasa, dan bermacam lagi majlis yang menghidangkan makanan, sesetengah kita masih lagi dapat mengawal nafsu makan itu.
Dalam bulan Syawal, pastinya majlis ‘jamuan makan’ itu lebih hebat dan lebih rancak lagi diadakan di mana-mana.
Di sini rumah terbuka, di sana rumah terbuka. Semua orang berkeinginan menganjurkan rumah terbuka dan turut berkeinginan menghadiri rumah terbuka.
Inilah salah satunya cabaran yang hadir dalam bulan Syawal iaitu makan. Makan merupakan sesuatu yang harus kepada manusia. Islam tidak menghalang umatnya untuk makan, dan itu merupakan sesuatu yang umum diketahui oleh masyarakat.
Tetapi Islam telah menggariskan tatacara dan adab dalam makan. Antaranya ialah tidak berlebihan dan membazir.
Kita lihat dalam bulan Syawal, orang berlumba-lumba untuk makan seolah-olah ‘membalas dendam’ kepada bulan Ramadan yang membatas aktiviti makan mereka. Segala macam juadah dinikmati sehingga kekenyangan yang melampau. Tidak cukup dengan itu, hadir pula ke rumah terbuka kemudian singgah pula ke kedai makan semata-mata untuk memenuhi ‘nafsu makan’ mereka.
Kita telah dijadikan oleh Allah SWT lengkap dengan segala macam keperluan. Udara, air, cahaya matahari, makanan semuanya telah disediakan oleh Allah SWT secara percuma. Allah SWT tidak meminta sedikit pun bayaran daripada nikmat yang disediakan oleh-Nya.
Salah satu nikmat yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada makhluk-Nya ialah makanan.
Namun, berlebih-lebihan dan loba dengan makanan merupakan salah satu daripada asal kejahatan. Perut merupakan tempat keluar bagi segala keinginan.
Allah SWT telah mengizinkan manusia untuk makan tetapi tidak menyukai perbuatan berlebih-lebihan dalam makan.
Firman Allah SWT dengan maksudnya: “…makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang berlebihlebihan.” (Surah al-A’raaf : 31)
Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan kepada kita untuk bersederhana dalam makan yakni dengan kata lain tidak melampau atau membazir dalam makan.
Rasulullah s.a.w. juga telah mengingatkan umatnya supaya tidak berlebih-lebihan dalam hal makan. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa perut adalah satu-satunya tempat yang paling buruk untuk dipenuhi. Maka isi perut itu perlu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu; i. Sepertiga untuk makanan, ii. Sepertiga untuk minuman (air), iii. Sepertiga untuk udara.
Pembahagian ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak ada wadah yang lebih buruk yang diisi oleh anak Adam dari perutnya. Kiranya anak Adam cukup mengkonsumsi makanan yang dapat mendirikan tulang punggungnya. Kalau dia harus menambahnya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga yang lain untuk nafasnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah dalam Sahih Jami’, 5674)
Sabda Rasulullah s.a.w. “Kurangilah hasrat makanmu, kerana manusia yang paling kenyang di dunia maka dia (akan menjadi manusia) yang paling lapar pada hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak)
Sayidina Umar r.a. pernah berkata: “Jauhilah daripada membuat perut kamu penuh, kerana perut yang penuh menjadi bebanan ketika hidup di dunia dan menjadi daging yang berbau busuk sesudah mati.”
Sebahagian ulama salaf juga pernah berkata: “Meninggalkan sesuap makanan ketika makan malamku adalah lebih baik daripada beribadat sepanjang malam. Kerana apabila perut kosong, lebih enak untuk membaca al-Quran, mengurangkan tidur dan melamakan waktu solat malam.”
Makanan merupakan medium untuk kita meneruskan kehidupan dan juga memberi tenaga kepada setiap makhluk-Nya di atas dunia.
Tumbuhan dan haiwan juga makan untuk hidup tetapi dengan cara masing-masing yang telah diaturkan oleh Allah SWT. Menjadi terlalu kenyang akan menyebabkan seseorang menjadi malas dan lebih teruk lagi apabila seseorang itu menjadi malas untuk beribadah.
Pilihlah makanan halal lagi baik Dalam musim perayaan begini, pasti ada banyak juadah yang terhidang kepada kita. Kita juga terkadang buntu untuk memilih juadah yang mana hendak dimakan. Allah SWT telah memberi panduan kepada hamba- Nya dalam memilih makanan.
Allah SWT menyarankan kepada kita untuk memilih makanan yang halal lagi baik. Jenis makanan yang masuk ke dalam perut akan mempengaruhi hati sama ada akan menjadikannya keras atau lunak dan dapat mempengaruhi pada jasmani yakni anggota tubuhnya untuk taat atau mengingkari-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah (makanan) yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Ayat ini juga menunjukkan bahawa larangan Allah SWT kepada manusia daripada memakan makanan yang haram.
Rasulullah s.a.w. juga telah melarang umatnya daripada memakan makanan yang haram melalui sabdanya yang bermaksud: “Setiap tubuh yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka api neraka lebih layak untuk tempat tinggalnya.” (Hadis riwayat Ahmad, al- Hakim dan Ibn Hibban)
‘Umar al-Tursusi berkata; “Aku dan Yahya al-Jala’ pernah berkunjung ke rumah Abu ‘Abdillah (Ahmad bin Hanbal). Pada kesempatan itu, aku berkata; “Semoga Allah SWT merahmatimu, wahai Abu ‘Abdillah, dengan apakah hati dapat lunak?” Pada mulanya beliau memandang kepada kawan-kawannya kemudian menundukkan kepalanya, kemudian beliau mengangkatkan kepalanya seraya berkata;”Wahai anak! Dengan makan makanan yang halal.”
Yahya bin Ma’in berkata dalam syairnya; Semua harta baik yang halal mahupun yang haram akan lenyap dan sirna Sementara di keesokan harinya yang tertinggal adalah dosa-dosanya Tiadalah dikatakan bertakwa seorang yang takut kepada Tuhannya Selagi dia belum menghalalkan pola makanan dan minuman yang dimakannya
Mensterilkan apa yang dihimpun dan diperolehi daripada tangannya Berbicara selalu yang baik, sebagaimana hal ini disampaikan oleh Nabi kepada kita
Kesimpulannya, banyak mana pun yang kita makan, kita akan lapar jua akhirnya. Maka tidak perlu berebut-rebut dalam makan. Dan tidak perlu loba dalam hal makan. Makanlah sekadar yang perlu yakni menurut ajaran Rasulullah s.a.w.; makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Itulah tatacara orang Islam dalam makan.
0 comments:
Post a Comment