Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, September 19, 2011

GST Selepas PRU 13 : Pastikan Pengundi Tidak Pilih BN

Oleh YB UST.MOHD FIRDAUS JAAFAR

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS) meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang ( ke 13) bagi memastikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan. Ini ekoran komitmen Perdana Menteri dalam sebuah kenyataannya semalam bahawa GST akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat iaitu selepas PRU ke 13.

Dalam pada itu, LPAS berterima kasih kepada PM yang berani berterus terang kepada rakyat bahawa kerajaan akan melaksanakan satu lagi dasar yang akan mencekik darah rakyat. Dalam beberapa hari lepas, cukai 6% prabayar hendak dilaksanakan namun terpaksa ditangguhkan kerana bantahan rakyat. Penangguhan ini bukan bermaksud tidak dilaksanakan langsung, ia akan dilaksanakan juga. Paling selamat untuk dilaksanakan adalah selepas PRU ke 13, selepas rakyat digula-gulakan dengan segala macam janji manis.

GST adalah cukai barangan dan perkhidmatan. Nilainya adalah 4%, sedikit bagi mereka yang hidup mewah, tetapi amat menekan bagi golongan berpendapatan rendah. GST akan mengena pada semua lapisan masyarakat, tidak kira usia atau golongan. Sudah tentu yang mendapat laba besar adalah kerajaan sementara yang merana adalah rakyat.

Yang hairannya, Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai sumber. Daripada laut, bumi, hutan, pelancongan, pertanian, industri dan lain-lain lagi. Malaysia juga adalah pengeluar Petroleum. Berbanding dengan negara jiran seperti Singapura, sepatutnya Malaysia jauh lebih kaya dengan meninggalkan negara-negara yang tidak ada hasil bumi. Dalam keadaan demikian, masih banyak lagi cukai yang dikenakan kepada rakyat. Banyak lagi cukai baru akan diperkenalkan nanti. Pendapatan rakyat tidak pula bertambah. Dasar gaji minima yang diminta oleh rakyat untuk dipertimbangkan masih lagi tidak dipedulikan.

Justeru, LPAS meminta rakyat agar mempertimbangkan kembali sokongan kepada BN dalam PRU ke 13. Mengundi BN ibarat masuk ke perangkap yang akan menyiksa rakyat buat beberapa tahun lamanya. Sudah 54 tahun negara merdeka, dan sudah berbelas kali peluang diberikan namun BN tetap tidak berubah. Slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah slogan retorik politik. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri. LPAS percaya, rakyat Malaysia semakin cerdik untuk menilai suasana politik dalam negara. LPAS mengharapkan PRU ke 13 kali ini adalah titik perubahan untuk rakyat Malaysia. Bebaskan Malaysia dari (BN) Beban Negara!

Disediakan oleh;

YB UST.MOHD FIRDAUS JAAFAR

Pengerusi


0 comments: