KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan muslihat untuk mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) secara senyap oleh kerajaan UMNO-BN melalui Bajet 2013 yang telah dibentang Perdana Menteri, Najib Razak Jumaat lalu.
Bercakap dalam sidang berita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong mencabar Perdana Menteri Najib Razak untuk menafikan bahawa kerajaan berhasrat untuk melaksanakan cukai GST selepas Pilihanraya Umum ke 13, pada tahun 2014.
Chin Tong menyebut bahawa teks ucapan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri secara senyap telah menyelitkan hasrat untuk mengimplementasi cukai GST.
“BR1M dan BR1M 2.0 yang mahu diberi kepada rakyat, akhirnya akan dikutip semula melalui cukai GST ini,” ujarnya sambil menyebut bahawa pengecualian cukai 1% yang disebut Perdana Menteri juga bukanlah sebuah ‘hadiah’ malah sebenarnya dibuat dalam rangka melaksanakan cukai GST.
Bercakap dalam sidang media serupa, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menempelak Perdana Menteri dan kerajaan kerana tidak berani untuk memaklumkan secara jelas hasrat untuk menambah cukai rakyat ini.
“Dasar cukai baru adalah amat penting dalam keadaan negara hari ini. Oleh itu kerajaan harus jelas dan jangan sembunyi-sembunyi. Nampaknya ada muslihat yang lebih besar,” kata beliau.
Kenyataan media bersama Pakatan Rakyat yang dibacakan pada sidang media tersebut memperjelaskan bahawa tanggapan bahawa beberapa ratus jenis barangan yang dinikmati golongan miskin tidak dikenakan cukai GST adalah tidak benar kerana melalui pelaksanaan BR1M kita dapat melihat bahawa golongan menengah dan miskin merupakan 60 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini.
Jumlah ini adalah terlalu besar untuk dikecualikan dari GST. Menurut Chin Tong, adalah tidak masuk akal untuk melaksanakan GST jika 60% daripada rakyat tidak dicukai.
“Baik tak payah buat langsung kalau tak mahu cukai daripada 60% rakyat,” kata beliau.
Menurut Dr Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, GST bukanlah jalan penyelesaian yang betul, dan Barisan Nasional tidak harus mengambil jalan singkat untuk memulihkan ekonomi negara.
“Hari ini dia beri, esok dia akan ambil balik (melalui GST),” ujar beliau.
Pakatan Rakyat menyarankan supaya Barisan Nasional mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang supaya rakyat Malaysia sendiri dapat memilih antara sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat: sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment