Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, October 13, 2012

Sistem imunisasi serang sel sihat

PADA pertengahan tahun 2002, Azlina Jaafar, 33, kerap kali demam dan mengalami masalah ruam pada wajah. Perubahan pada kulit kedua-dua belah pipinya yang menjadi kemerah-merahan begitu ketara hinggakan rakan-rakannya mula menegur.

Bagaimanapun, wanita itu tidak pernah mengambil peduli dengan teguran itu. Namun, jauh di sudut hatinya itu, dia mengakui berasa bimbang dengan masalah berkenaan.

Ekoran tidak tahan dengan teguran yang sentiasa diterimanya, Azlina akhirnya ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan.

Harapan untuk mendapatkan jawapan bagi masalah ruam itu sia-sia kerana doktor yang ditemuinya itu sendiri tidak dapat mendiagnosis jenis atau sebab dia mengalami simptom gangguan kesihatan tersebut.

Azlina yang masih tidak berpuas hati pernah mengulang kunjungan ke klinik yang sama. Begitupun, dia pulang dengan hampa kerana tidak menerima penjelasan tepat apatah lagi ubat-ubatan atau rawatan susulan.

Hinggalah pada satu hari, wanita itu jatuh sakit dengan situasi yang lebih serius. Berat badannya menurun secara mendadak iaitu kira-kira 10 kilogram dalam tempoh singkat.

“Gusar masalah itu berlarutan, saya merujuk masalah saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan lanjutan,” ujarnya yang mengakui semakin lemah waktu itu.

Autoimun

Selepas menjalani ujian darah dan air kencing di HKL, Azlina akhirnya didiagnosis menghidap Eritematosus Lupus Sistemik (SLE).

“Pada ketika itu, saya masih tidak memahami tentang SLE secara mendalam, walaupun doktor cuba membantu dengan memberikan saya beberapa keping risalah mengenainya,” kata Azlina.

SLE atau lebih dikenali sebagai lupus adalah sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan sistem imunisasi tubuh menyerang tisu-tisu sihat dalam tubuh.

Penyakit itu sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita yang berusia antara 15 hingga 45 tahun.


SETIAP pesakit SLE akan mengalami simptom yang berbeza dan salah satu daripadanya ialah ruam. - Gambar hiasan

Penyakit itu tidak mempunyai simptom spesifik dan petandanya berubah-ubah mengikut individu. Oleh itu, ada yang menderita demam yang berlanjutan, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat ataupun mengalami kemurungan.

Berikutan simptom yang bervariasi itu, komuniti dunia perubatan turut menganggap lupus sebagai penyakit seribu wajah.


Menceritakan lanjut mengenai kehidupannya selepas didiagnosis dengan SLE, Azlina memberitahu, dia perlu mengambil 12 biji jenis prednisolone sehari selain dua jenis ubat yang lain bagi mengubati penyakit itu.

Namun demikian, selepas dua tahun mengambil ubat-ubatan tersebut, dia terpaksa membuat keputusan drastik dengan meninggalkan kerjayanya sebagai kerani akauntan.

“Saya tidak dapat bekerja kerana berterusan mengalami sakit sendi dan kerap kali demam. Lebih teruk, kaki kanan saya menjadi pendek,” ujarnya yang diberitahu doktor, perkara itu terjadi akibat kesan sampingan pengambilan ubat prednisolone yang menjejas ketumpatan tulang.

Guna tongkat


Bertutur lanjut mengenai perubahan fizikalnya itu, Azlina memberitahu, dia terpaksa bergantung kepada tongkat kerana kemerosotan sokongan dan kekuatan kaki.

Oleh itu, doktor yang merawatnya menyarankan Azlina menggunakan tongkat selain selipar yang lebih tinggi supaya dapat membantunya bergerak.

“Saya terpaksa membeli selipar ringan yang diubah suai ketinggian tapaknya. Setakat ini, saya cuma ada tiga pasang untuk kegunaan harian,” tuturnya yang tinggal di Selayang.

Dalam pada itu, Azlina mengakui ekoran menderita penyakit itu, dia pernah memencilkan diri daripada keluarga dan sahabat handai.

Walau bagaimanapun, sikap Azlina itu hanyalah sementara. Daripada menyendiri dan bersedih, wanita itu semakin menerima keadaan dirinya dengan sabar serta tabah.

Semangatnya untuk menempuh kehidupan sebaik mungkin kembali semenjak dia menyertai Persatuan SLE Malaysia pada tahun 2007. Persatuan itu banyak memberi sokongan selain menganjurkan aktiviti-aktiviti berguna untuk para pesakit SLE.
Tambah Azlina, penyertaannya dalam persatuan berkenaan banyak membantunya menjadi seorang positif dan mendapat maklumat berfaedah berkaitan penyakit SLE.

“Bagi sesiapa yang mempunyai masalah ini, lebih elok mereka menyertai persatuan ini kerana banyak perkara boleh dikongsi bersama ahli persatuan yang senasib dan memahami,” katanya.

Persatuan membantu

Pendapat itu turut disokong seorang guru, Loh Pui Yee, 36. Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mula menyertai persatuan SLE selepas didiagnosis pada tahun 1993.

 
SAKIT sendi juga antara simptom penyakit SLE.

Ketika menerima keputusan itu, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai penyakit itu sehinggalah terjumpa risalah mengenai ceramah lupus yang diadakan di hospital tempat dia mendapatkan rawatan.

Tanpa berfikir panjang, dia menyertai ceramah tersebut dan mengetahui lebih lanjut mengenai kewujudan persatuan berkenaan.

Sejak hari itu, kakitangan kerajaan berkenaan mula menyedari betapa pentingnya seseorang individu yang menghidap penyakit berkenaan menyertai persatuan kerana tidak semua perkara boleh didapati dengan mudah.

“Saya pernah tertekan kerana penyakit ini tetapi dengan menyertai persatuan, saya dapat menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

“Mungkin masih ramai yang senasib dengan saya dan tidak mengetahui tempat bagi mendapatkan bantuan dan rawatan.
“Lagipun, SLE rumit untuk dikawal dan memerlukan rawatan berpanjangan. Maka, bagi mereka yang mengalami masalah yang sama, adalah lebih elok menyertai persatuan,” syornya.

Pui Yee menghidap SLE ketika berusia 17 tahun dan mula mengalami perubahan pada diri seperti penglihatan kurang jelas dan kesan bintik-bintik merah pada muka.

Pada permulaan, dia menyangka ia sekadar gigitan nyamuk namun, selepas insiden pengsan di sekolah dan dirujuk ke hospital, barulah dia mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya..

Meskipun terpaksa hidup dengan penyakit itu buat selama-lamanya, dia menerima suratan takdir itu dengan hati terbuka.
Hampir 20 tahun menghidap penyakit itu, dia kini hanya mampu bergantung kepada ubat-ubatan dan mengamalkan corak kehidupan yang sihat supaya keadaan dirinya tidak menjadi bertambah teruk.

0 comments: