Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, March 20, 2013

Shahrizat: NFCorp beli Mercedes sebagai kereta syarikat, diletakkan di rumah

Sumber Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp), yang dimiliki oleh suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, membeli sebuah kereta Mercedes Benz bernilai RM534,622 pada 2009 sebagai kereta syarikat yang diletakkan di rumahnya.

Bekas menteri Kabinet itu berkata NFCorp membeli sebuah unit kondominium di Singapura sebagai tujuan pelaburan di bawah nama keluarganya kerana undang-undang Singapura melarang pembelian NFCorp secara terus, kerana ia adalah syarikat yang baru.

“Ada empat orang pengarah; mereka membeli Mercedes sebagai kereta syarikat,” kata Shahrizat dalam Mahkamah Tinggi hari ini.

“Satu kereta untuk empat pengarah - suami dan tiga orang anak, kami tinggal di rumah yang sama,” kata ketua wanita Umno, yang membawa beg Louis Vuitton dalam mahkamah yang sesak dengan orang ramai.

Shahrizat menegaskan pembelian Mercedes-Benz CLS350 itu dibeli kerana NFCorp adalah “syarikat besar” dan dilawati oleh pelawat asing. Beliau juga mengakui NFCorp memindahkan RM500,000 kepada Meatworks (Singapore) Private Limited, yang dimiliki oleh keluarganya, untuk membeli sebuah unit kondominium di Singapura bagi tujuan pelaburan.

“Saya kata ini syarikat baru melabur dalam perniagaan di Singapura.

“Pelaburan dibuat oleh NFCorp. Bila mereka memohon pinjaman, kerana NFCorp adalah syarikat baru, mereka menggunakan nama peribadi mereka,” kata Shahrizat, merujuk kepada ahli keluarganya.
Shahrizat juga menafikan keluarga beliau melawat Phuket, dimana peguam Rafizi Ramli, Ranjit Singh, mengatakan pengarah strategi PKR itu menimbulkan isu pembayaran NFCorp kepada agensi pelancongan Impian Global Network Services (IGNS) yang menawarkan pakej pelancongan ke Phuket, Bali, Kuching dan Bandung.

"Saya tidak pernah ke Phuket, begitu juga keluarga saya. Ini adalah contoh fitnah dan tuduhan dari klien anda," katanya lagi.

Shahrizat turut menyalahkan Rafizi kerana dia menjadi punca tumpuan media ke atas Pusat Fidlot Kebangsaan, projek penternakan lembu yang dijalankan oleh NFCorp yang menerima RM250 juta dari pinjaman kerajaan.

"Perbelanjaan melibatkan wang rakyat adalah untuk kepentingan rakyat. Tetapi media mengheboh-hebohkan kerana niat jahat dan fitnah oleh klien anda," katanya lagi.

Ranjit mengatakan media perdana membuat laporan bahawa Ketua Audit Negara pada laporannya pada 2010 mengatakan tentang kelemahan NFC dalam projek tersebut.

"Saya tidak mengatakan klien anda mengawal akhbar, tetapi mencipta kempen jahat. Semua media turut memainkan isu ini," kata Shahrizat.

Beliau bagaimanapun bersetuju Rafizi menanyakan soalan pada sidang media 18 November 2011 berkenaan sama ada terdapat wang rakyat dipindahkan selepas NFCorp memindahkan RM81 juta kepada National Meat Livestock Corporation (NMLC) yang juga dimiliki keluarganya.

Shahrizat juga mengatakan Rafizi memfitnah beliau apabila beliau bertanya bagaimana kerajaan boleh menganugerahkan keluarga beliau yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang penternakan.

"Itu bukan soalan, itu fitnah. Ia berniat jahat dan mahu memutarbelitkan kenyataan kepada seluruh negara," katanya lagi.

Kes saman fitnah RM100 juta Shahrizat menentang Rafizi dan ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin dihakimi Hakim Vazeer Alam Mydin, yang menyambung perbicaraan tengah hari ini.

0 comments: