Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, March 1, 2013

Wanita Malaysia: Sariah wanita tertua di dunia?



Sariah wanita tertua di dunia?
MyKad milik Sariah yang menunjukkan dia dilahirkan pada tahun 1899
PORT DICKSON - Jika benarlah tarikh yang dicatat dalam MyKad, Sariah Marjo, yang dilahirkan pada tanggal 28 April 1899 mungkin boleh dikatakan wanita tertua di dunia ketika ini, hanya setahun lebih muda daripada Misao Okawa, 114, yang diiktiraf wanita paling tua di dunia dalam Rekod Dunia Guinness, kelmarin.

Sariah yang berasal dari Kampung Bukit Tembok di sini akan menyambut hari lahirnya ke-114 pada 28 April depan. Walaupun umur Sariah sudah mencecah ratusan tahun, dia tidak mengidap penyakit kronik, malah masih mampu menguruskan dirinya sendiri.

Isi masa dengan berzikir

Sariah ketika ditemui di rumah anaknya menolak anggapan bahawa dia mengamalkan amalan tertentu sehingga usianya panjang serta kesihatan masih dalam keadaan baik. Mata dan telinganya juga masih peka, jalannya tidak perlu bertatih, malah makannya tidak perlu bersuap.

Pada masa lapang, Sariah tidak gemar menonton televisyen dan hanya mengisi masa luangnya dengan duduk di belakang rumah sambil berzikir.

Kuat bekerja masa muda

Sariah adalah anak sulung daripada empat beradik dan kesemua adiknya sudah meninggal dunia. Tiga daripada lapan anaknya juga meninggal dunia, termasuk empat daripada lima menantunya.

Sariah yang mempunyai 33 cucu, 60 cicit dan dua piut berkata, dia gembira kerana mempunyai keturunan yang ramai dan diberikan peluang oleh ALLAH SWT untuk melihat generasinya walaupun tidak mampu mengenal dan mengingati kesemua warisnya.

Suami Sariah, Kasmawi Md Yunus meninggal dunia sekitar tahun 1970-an ketika berusia 70 tahun.

Ketika mudanya, Sariah seorang yang sangat kuat bekerja, dia menoreh pokok getah pada awal pagi dan kemudiannya turun ke bendang. Dia melakukan kerja itu untuk membantu suaminya yang bekerja sebagai petani.

Sinar Harian difahamkan, Sariah mula meninggalkan kampungnya iaitu Kampung Bukit Tembok di Pasir Panjang kerana mengikuti anaknya ke Kuala Lumpur yang ketika itu usianya mencecah 60 tahun.

Tidak boleh makan ayam

Sariah wanita tertua di dunia?
Chumi (kiri) bersama ibunya, Sariah yang masih sihat.
Anaknya Chumi, 59, berkata, walaupun umur emaknya mencecah 114 tahun, namun dia masih sihat.

“Di sana (Kuala Lumpur) emak menjaga cucu. Malah sehingga kini, semua keperluannya emak akan lakukan sendiri. Sekarang ini emak tinggal bersama saya di sini sejak setahun lalu.

Malah menjadi tradisi keluarga kami, setiap tahun terutamanya hari raya akan berkumpul di rumah adik paling bongsu di Kampung Bukit Tembok,” katanya yang merupakan anak ketujuh.

Chumi berkata, setiap hari dia akan memberi emaknya makan oat, namun emaknya tidak boleh makan ayam.

"Jika emak makan ayam, kakinya akan gatal-gatal. Dari dulu emak memang tiada pantang dalam aspek pemakanan, namun gaya hidupnya yang bekerja sebagai petani menjadikan dia setiap hari menggunakan tenaga dalam erti kata lain bersenam. Oleh itu, saya rasa ini yang menjadi antara faktor emak masih sihat dan panjang usianya,” katanya.

Permohonan BR1M ditolak kerana keliru

Menurutnya, nombor kad pengenalan emaknya adalah 990428****** dan ia banyak kali menimbulkan salah faham ramai pihak.

"Contohnya semasa proses mengambil Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ada yang tidak percaya, malah permohonan pertama emak pernah ditolak kerana didakwa tidak layak.

“Mungkin mereka ingat usia pemohon adalah 14 tahun. Malah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga baru sahaja dimohon setahun lalu,” katanya.

0 comments: