KOTA BHARU: Empat pelancong China cedera parah apabila bot gentian kaca yang mereka naiki melanggar sebuah bot Pasukan Gerakan Am (PGA) Komando 69 yang sedang dalam latihan di Teluk Kay Kay, Pulau Perhentian Besar, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, enam pelancong dan empat rakyat tempatan termasuk seorang pemandu bot dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Besar ke Pulau Perhentian Kecil untuk latihan menyelam sebelum bertembung bot komando polis berkenaan.
Akibat pertembungan itu, kebanyakan penumpang dalam dua bot terbabit tercampak ke laut dan mengalami kecederaan akibat terkena hentakan pada badan bot yang berlanggar,
Selain empat warga China itu yang dikejarkan untuk rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, tiga lagi penumpang bot serta seorang anggota polis yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut dan menerima rawatan pesakit luar.
Chen berkata, beliau bersama tiga rakannya menyertai pakej pelancongan sejurus mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Kami menaiki bot yang membawa 12 penumpang termasuk seorang kanak-kanak, dari jeti Kuala Besut. Bot berkenaan menghantar sebahagian penumpang ke beberapa destinasi sebelum menuju ke Pulau Perhentian bersama enam penumpang.
Sebelum kejadian, saya baru selesai merakamkan gambar dan ketika memasukkan kamera dalam beg, saya dikejutkan dengan jeritan yang saya tidak faham, katanya yang berasal dari wilayah Sichuan, China, ketika ditemui dalam rawatan di HUSM, petang semalam.
Chen berkata, dalam sekelip mata sebuah bot muncul di hadapan mereka menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut kerana masing-masing tidak sempat berpaut pada sebarang objek dalam bot itu.
Saya hanya nampak seorang rakan, Lee Tan, sempat ditarik seseorang dan berjaya diselamatkan daripada terjatuh ke dalam laut, manakala Zhang Yu, tercampak ke laut sebelum diselamatkan pemandu bot, katanya yang cedera di kepala dan patah tangan akibat terhentak.
Beliau berkata, mereka dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke HUSM mulai jam 7 malam kelmarin, untuk rawatan susulan kerana di kalangan mereka ada yang patah rahang, tangan, tulang selangka dan cedera di muka.
0 comments:
Post a Comment