Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, July 9, 2010

Petronas hilang kekuatan, cari gali merosot

Oleh Tranungkite

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan Petronas sudah hilang ekoran keupayaannya melabur untuk cari gali minyak yang baru semakin merosot.Sehubungan itu, beliau mempertikai keengganan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan usul mengenai perolehan Petronas atas alasan ianya tidak perlu disegerakan.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Anwar menyatakan kebimbangan dengan laporan kewangan Petronas yang menunjukkan kegawatan dan tidak mampu lagi bersaing dengan syarikat pengeluar minyak dunia.

Beliau tidak setuju usul itu tidak perlu disegerakan kerana laporan itu membimbangkan.

Ini, katanya kerana prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion.

“Keuntungan pun merosot sebanyak 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan adalah 70.9 peratus. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen.

"Saya bangkitkan ini kerana saya melihat ia bertujuan untuk menampung defisit. Defisit tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak. Ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara," katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut menegaskan, kekuatan Petronas sudah hilang ekoran keupayaannya melabur untuk cari gali minyak yang baru semakin merosot.

"Kedua, di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja.

"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil," katanya.

Ujarnya juga, dasar Petronas itu berubah kerana terdapatnya campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas.

Menurutnya, dasar itu berubah dengan pengurusan baru yang sepenuhnya dikawal oleh Najib.

“Tahap kewibawaan Petronas dipertikai. Apa yang menjadi kebimbangan kita selain soal menangani defisit ini ialah keupayaan Petronas untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang akan terjejas.

"Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka. Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.

"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 (RM74 bilion) dan 2010 (RM57.6 bilion).

"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi," katanya.

0 comments: