PATTANI: Sebagai antara negara pengeluar padi utama di dunia, bendang padi sudah tentulah menjadi pemandangan biasa di Thailand.
Bagaimanapun di Pattani, selatan Thailand, penduduk tetap turun ke bendang tetapi yang diusahakan ialah garam.
Di sini proses menghasilkan garam masih dilakukan secara tradisional dengan menggunakan air laut sebagai bahan utama mengeluarkan garam berbuku (garam jantan) yang dihasilkan dalam petak sawah.
Sekurang-kurangnya 10 buah kampung di wilayah ini mengusahakan bendang garam dengan keluasan tanah lebih 2,000 rai (satu rai bersamaan 0.2 hektar).
Kampung-kampung ini, yang berdekatan dengan laut, menjadikan perusahaan membuat garam sebagai punca pendapatan mereka. Dengan itu juga penghasilan garam dari air laut menjadi daya tarikan pelancong ke wilayah ini.
Garam yang dihasilkan di sini mendapat sambutan baik sejak wujudnya perusahaan garam ini kerana dipercayai mempunyai khasiat tertentu untuk kecantikan kulit dan kesihatan.
BAGAIMANA GARAM DIHASILKAN
Menurut pengusaha bendang garam di Kampung Lamdok, Bisim Mamat, 45, proses menghasilkan garam perlu dilakukan ketika musim kemarau. Proses menghasilkan garam dari air laut diusahakan secara tradisional sejak hampir 100 tahun lepas.
Sebelum air laut dimasukkan ke kawasan petak yang dikhaskan untuk menghasilkan garam, air berkenaan perlu terlebih dahulu dijernihkan hampir sebulan di dalam satu kawasan petak sawah yang lain tetapi berdekatan dengan petak yang bakal menghasilkan garam.
"Setelah sebulan air laut dijernihkan, barulah dilepaskan ke petak bendang yang bakal menghasilkan garam dan dibiarkan selama seminggu sekurang-kurangnya," katanya.
PETAK GARAM
Pengusaha garam di wilayah ini hanya menggunakan alat penarik seakan-akan cangkul lebar yang diperbuat daripada papan untuk mengumpulkan garam yang masih terendam air di dalam kawasan petak sawah.
Menurut seorang pengusaha di Kampung Kuing, Pattani, Ismail Ahmad, 50, jika hujan lebat berlaku, penghasilan garam akan terbantut dan berkurangan kerana kepingan garam di permukaan air dan di dasar bendang akan hancur, tetapi jika cuaca panas garam terhasil dengan banyak.
Bagi setiap petak hampir 10 x 20 meter luas, pengusaha garam mampu menghasilkan hampir 50 kilogram garam buku yang bersih, dijual dengan harga RM1 segantang.
TANAH SEWA
Ismail, yang menjadi pengusaha garam sejak lebih 30 tahun, berkata dia menyewa tanah kerajaan di kawasan perusahaan garam di kampung itu dengan kadar RM100 setahun.
Bagaimanapun akibat tawaran harga yang terlalu tinggi, ramai pemilik tanah di kawasan perusahaan garam di sini menjualnya kepada pengusaha garam yang mempunyai modal besar, katanya.
Menurut Ismail, bukan semua kawasan bendang di Pattani ini boleh dijadikan kawasan perusahaan garam kerana tanahnya tidak sesuai.
Walaupun ada pihak yang mencubanya di beberapa kawasan lain, tetapi ianya tidak berhasil.
Beliau berkata hanya di kampung berdekatan dan sekitar Krue Se (Keresik) sahaja yang sesuai dijadikan bendang penghasilan garam kerana dipercayai tanah bendang di sekitar itu terlalu masin serta mengandungi bahan yang boleh membekukan air laut hingga menghasilkan garam.
UBAT KESIHATAN
Seorang lagi pengusaha bendang garam Abdul Kadir Nik, 60, berkata garam dari air laut ini dipercayai mampu menjadi ubat tradisional terutama untuk penyakit kulit.
Beliau yang merupakan generasi kedua mengusahakan bendang garam ini juga yakin perusahaan garam daripada air laut ini mampu bertahan lebih lama.
Menurut Abdul Kadir, ramai pelawat dan pelancong yang datang ke kawasan bendang garam di sini dan membelinya untuk dibawa pulang dalam kadar yang banyak kerana mahu dicampur menjadi ramuan ubat pada sabun mandi bagi tujuan melicinkan kulit serta menghindarkan penyakit kulit.
"Ada pengusaha alat kecantikan dari Malaysia yang menghasilkan bahan mencuci badan untuk kaum wanita menggunakan garam yang dihasilkan di sini sebagai bahan campuran di dalam produk keluaran mereka," katanya.
KURANG MINAT
Abdul Kadir berkata kebanyakan bendang yang dijadikan kawasan pengeluaran garam sudah banyak bertukar tangan kerana tawaran harga yang begitu tinggi.
Jelasnya, ada pemilik tanah yang tidak sanggup menolak tawaran harga yang begitu tinggi dan bertindak menjualnya kepada pihak lain menyebabkan banyak kawasan pengeluaran garam di sini dimiliki orang 'luar'.
"Ada dalam kalangan petani di sini menjualnya kepada pengusaha yang lebih banyak wang, tetapi saya tetap mengusahakan perusahaan membuat garam ini walaupun di atas tanah tidak sampai tiga rai (0.6 hektar) kerana ia mampu menyara hidup keluarga," katanya.
Bagi Abdul Kadir, perusahaan garam di Pattani ini kurang diminati generasi muda di sini kerana kebanyakan mereka lebih gemar terlibat dengan perniagaan lain selain berhijrah ke Malaysia mencari pekerjaan.
Tinjauan Bernama di pasar besar Pattani mendapati garam yang dihasilkan di kawasan bendang garam di sini dijual dengan harga 15 bhat (RM1.50) bagi setengah kilogram. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment