Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, December 4, 2010

Harga RON95, Diesel, Gula & Gas Naik Lagi, BN Menipu Rakyat

Petrol RON95 dan diesel naik lima sen, gula mahal 20 sen

Harga petrol RON95 sah mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) mulai tengah malam ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib.

Turut mengalami kenaikan ialah diesel, naik lima sen kepada RM1.80 seliter.

Ekoran pelarasan itu, RON95 akan dijual RM1.90 seliter.

Pelarasan itu juga membawa kepada kenaikan gas petroleum cecair (PLG) kepada RM1.90kg iaitu naik lima sen berbanding sekarang.

Kedua-dua bahan api petrol dan diesel serta LPG dan gula mengalami kenaikan pada Julai lalu apabila dasar pelarasan diperkenalkan dalam usaha kerajaan mahu mengurangkan subsidi.

Petrol RON97 yang tidak disubsidi telah mengalami kenaikan pada 1 November dan 1 Disember lalu, tetapi kerajaan tidak membuat pengumuman atas alasan ia perubahan kerana pengapungan harga.

RON97 tidak mengalami kenaikan kali ini.

The Malaysian Insider tengah hari tadi melaporkan produk-produk itu akan mengalami kenaikan mulai tengah malam ini.

Dengan pelarasan kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM621.9 juta dari produk petrol RON95, RM213.2 juta (diesel), RM63.5 juta (LPG) dan RM283.5 juta (gula) setiap tahun ataupun RM1.18 bilion.

Pada Julai lalu, kerajaan menjangkakan harga tidak akan naik sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, pelarasan subsidi diperlukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Kami melakukan yang ini (pelarasan subsidi) untuk memastikan defisit kita dapat dikurangkan. Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Kami akan memastikan kita hidup dalam lingkungan keupayaan (kita),” kata beliau pada majlis taklimat pengumuman pelarasan subsidi di pejabatnya petang tadi.

Kata beliau, walaupun ada kenaikan lima sen, harga jualan RON95 dan juga LPG serta diesel dan gula masih rendah berbanding di Indonesia.

“Lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Salah satu pendekatan untuk mengurangkan kos ialah merasionalkan subsidi kita sebab subsidi keseluruhan Malaysia adalah paling tinggi berbanding negara lain. Subsidi kita tidak sasarkan pada (kumpulan) rakyat miskin,” katanya.

Oleh itu kata beliau, penjimatan daripada pelarasan subsidi akan digunakan untuk pembiayaan pembangunan luar bandar, pendudukan, pengangkutan bandar dan bidang-bidang lain dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pertengahan Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan harga menyaksikan kenaikan harga beberapa barangan keperluan utama.

Dalam kenyataan diumumkan ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pelarasan harga itu membabitkan petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi.

Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan LPG, dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, Penyelarasan semula harga barang-barang itu akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Berdasarkan proses itu, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal.

Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram. -TMI



0 comments: