Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, December 17, 2010

Terima Kasih Mak

Kalau nak kira mak aku la harta yng paling mahal, paling berharga, takde nilai yang boleh disamakan dengannya. Aku cukup rapat dengan mak aku, dia lah yang tahu dan ambil tahu kehendak anak-anaknya. cukup memahami...

Abah aku orangnya agak garang masa kami kecik-kecik dulu, pernah kami kena pelangkung dengan dia sebab lambat mandi pagi nak pergi sekolah. Sejak hari tu aku dah kurang siket dengan abah. Apa-apa masalah aku mengadu dengan mak. Emak la tempat aku bercerita suka duka, mintak tolong buat kerja sekolah, mintak duit belanja, kena buli dengan kawan, semuanya mak.

Dengan abah, jangan kata nak mintak, nak bersembang pun tak berani. Abah pagi-pagi lepas hantar kita orang pergi sekolah dia pergi ladang, tengah hari atau petang baru balik. Abah akan rehat kekadang tidur kat pangkin bawah pokok rambutan tepi umah. Macam tu la abah hari-hari, kami jarang dapat dengar suara dia, tapi kalau dia dah bukak mulut memang kena. Masa tu kekadang aku rasa mengapa la aku ada abah, kalau ada mak je kan bagus, tapi mungkin jugak abah jadi gitu sebab keadaan hidup kami. Kami dulu org susah abah hanya peneroka felda, kerja teruk tapi pendapatan tak seberapa.

Untuk menampung perbelanjaan keluarga dan belanja sekolah kami, mak buat nasi lemak dengan kuih tepung bungkus. Pukul 5 pagi mak dah bangun bungkus nasik dan pagi-pagi lepas hantar kita orang pergi sekolah, abah singgah letak nasik lemak dengan tepung bungkus kat kedai makan tepi sekolah. Masa tu nasi lemak sebungkus abah jual 30 sen kuih tepung bungkus 15 sen. Kekadang tu aku bawak gak 2,3 bungkus nasi lemak untuk jual kat kawan sekelas dapat duit belanja lebih hari tu.

Aku dapat duduk dengan mak sampai tingkatan 3, lepas tu aku masuk asrama vokesional Temerloh, tapi tiap-tiap minggu balik kampung, sebab nak makan masakan mak, keras tengkuk aku duk makan nasi kawah, ikan jeket dengan sawi balak kat asrama.

Petang Jumaat balik kampung sampai rumah terus cari nasi. Emak setiap Jumaat dia dah tau, dia akan goreng ikan plaklin (ikan temenung), sayur togeh, ulam togeh dengan kacang botol, sambal belacan lada besar. Tu je favored aku, ada set tu... memang makan tak ingat punya. Kekadang tu mak masak kari ayam cair. Kalau kena yang tu, sehari 3,4 kali ulang makan nasi.

Duduk asrama 2 tahun, lepas SPM aku kerja sementara kat Tekam Resort, nama je resort sebenarnya aku kerja dalam ladang jugak banci pokok. Gaji rm400, tu la pendapatan pertama hasil titik peluh aku sendiri. Hari ambil gaji tu seronok bukan main macam-macam dah plan nak beli barang. Benda yang paling aku teringin masa tu, pancing guna mesin. Dapat duit terus pergi pekan beli, ingat lagi... harga pancing tu rm75 satu set. Balik rumah petang tu duit lebih bagi kat mak, sebab aku dah janji nak bagi duit pertama aku kat mak, bayar balik duit minyak moto yang aku mintak kat dia tiap-tiap hari pergi kerja.

Menitik air mata mak bila dia pegang duit aku bagi tu. Aku ingat lagi masa tu dia kata "ni bukan duit minyak moto, ni duit kerja anak mak, alhamdullillah dapat dah mak merasa duit anak-anak".

Aku kerja tak lama, aku dapat surat tawaran pergi UITM (masa tu masih ITM) Shah Alam jurusan elektrik panggilan pertama. Masa tu aku baru balik kerja, siap mandi, pastu makan. Mak masak sedap tengah hari tu. Tengah makan mak cakap "haa.... makan puas-puas, nanti lambat pulak dapat makan macam ni", aku tanya mengapa. Mak kata ada surat kat depan, dan aku pergi ambik baca. Melompat aku masa tu, aku tunjuk kat mak. Dia kata dia dah baca tadi, berair mata mak masa tu, kata dia... lepas dah anak mak 2 orang, tinggal 2 lagi tu tak tau macam mana.

Perbelanjaan aku masuk ITM masa tu abang sulong aku tanggung. Masa tu dia di Jepun study dan buat kerja part time jadi DJ.

Masa aku part 4, mak bersalin adik perempuan, kelahiran paling gembira bagi keluarga kami. Sebab sebelum ni kami 4 beradik lalaki. Abah la orang paling gembira dah lama dia nak anak perempuan. Adik perempuan ni jugak telah buat perubahan pada diri abah. Abah dah tak macam dulu, sesekali aku balik, aku tengok abah yang mengasuh adik lebih dari mak. Syukur pda tuhan harap adik tak merasa seperti apa yang kami rasa dulu.

Setahun lepas adik lahir mak sakit, tapi takde la teruk sangat, cuma pergi klinik je. Lepas sebulan lebih sakit mak tak sembuh, abah bawak pergi pada pakar kat hospital Mentakab. Hospital ambil semple darah, lepas seminggu dia orang panggil pergi hospital semula, dah dapat keputusan. Ya Allah, mak disahkan kena barah payu dara, doktor kata, untuk selamat mak kena operate selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

Bermula dari hari tu kami sekeluarga tak senang duduk terutama abah. Merata dia cari tempat untuk berubat, sebab kalau boleh kami tak nak mak di operate. Emak setiap hari menangis, bukan sebab sakit, tapi sebab dia risukan adik perempuan yg masih kecil, apa nasib adik bila dia tak de nanti. Aku cukup tak tahan bila setiap kali mak tinggal pesan. "mie... nak bancuh susu adik bubuh susu 2 sudu je, mie.... kain batik mak ada 3 helai yang baru dalam almari, nanti orang datang bukak ambik". Air mata memang tak leh tahan.

Sampai masa mak terpaksa operate juga. Doktor kate kuman kanser tu dah merebak ke paru-paru, masa tu aku ambik cuti seminggu dengan dekan. Balik kampung kena jaga adik. Lepas operate mak dah mula jadi lemah kesian sangat aku tengok doktor nak buat kemo, tapi tak boleh sebab badan mak terlampau lemah. Lepas 2 minggu mak kat hospital, dia dah beransur baik. Abah bawak balik. Mak sihat kat rumah, tapi tak sepenuhnya, makan masih berpantang. Emak boleh berjalan, boleh buat kerja rumah macam biasa.

Tapi tak lama, dalam sebulan lebih lepas tu mak pengsan tiba-tiba, abah bawak pergi hospital Jengka. Bermula hari tu...keadaan mak makin hari , makin teruk. Seminggu mak kat hospital, kemudian doktor bagi balik, keadaan mak elok siket, tapi mak dah tak boleh berjalan masa tu, kena guna kerusi roda. 2 hari je mak sempat duduk rumah, lepas tu abah terpaksa bawak mak pergi hospital semula, sebab keadaan mak terlalu lemah, mata tak boleh buka, dah tak boleh bercakap, mak tak makan sejak balik rumah. Masuk makanan mak muntah, doktor kata penyakit mak dah teruk, kuman dah merebak ke paru-paru dan hati. Sebab tu mak tak boleh makan.

Selama di hospital mak hidup dengan air dan ubat saja. Sayunya aku tengok muka mak dah cengkung, nafas tercungap-cungap. Tapi masa tu mak boleh bercakap. Satu yang aku amat kagum dengan mak, walaupun dia menderita sakit, tak pernah dia sebut yang dia sakit. Kami berbual macam biasa. Macam tak de apa-apa, boleh buat lawak, gelak lagi. Walhal aku tau yang dia menanggung sakit yang amat sangat. Doktor ada terangkan pada kami adik beradik macam mana nak jaga orang sakit barah. Doktor kata penyakit ni panas, lebih panas dari suhu bila kita demam, kemudian semua sendi satu badan akan sakit, perut rasa lapar tapi tak boleh makan, penglihatan akan kabur di sebabkan paru-paru mak dah rosak. Bila dia bernafas dia akan rasa sakit. Seksanya mak, tapi dia tak tunjuk kesakitan dia pada anak-anak. Cuma bila dia tengok adik, dia akan menangis. Aku pun sama akan ikut menangis bila tengok mak peluk adik.

Semakin hari keadaan mak semakin teruk .... aku ambik keputusan untuk cuti satu semester. Abang di jepun pun balik. Hati mak dah mula membengkak, perut dia buncit macam di pam. Berkilat dan boleh nampak urat, mata mak dah tak terang, bila dia tengok satu-satu benda, dia akan nampak seperti ada benda macam semut tengah merayap dan masa tu juga pemikiran mak dah tak berapa normal. Dia tak kenal dah orang yang pergi melawat dia, kecuali kami anak-anak dia.

Ada satu masa, aku tengah urut tangan dia, dia sapu kepala aku macam ada benda atas kepala aku, aku tanya kenapa. Mak kata ada habuk penuh atas kepala aku jadi dia nak sapu buang. Masa tu juga merambu air mata aku.

Walaupun dia menderita sakit, dia masih semangat menjaga kebajikan dan kebersihan anak dia. Hampir 3 bulan mak kat hospital Jengka, dan selama tu la kami sekeluarga berumah di sana, semua misi, doktor dah kenal. Selama tu jugalah kami adik beradik jaga mak, urut dia, bagi makan ubat, mandikan dia, tukarkan baju dan segalanya walaupun kami lelaki. Jururawat kat situ dah tak kisah. Mula-mulanya mereka memang tak bagi orang lelaki masuk wad wanita lepas waktu melawat. Kami jumpa doktor dan ketua dia jururawat, mintak kebenaran sebab kami tak de adik-beradik perempuan kemudian mak perlukan orang tunggu 24 jam, sebab bila mak kejang kena ada orang urut dia dan ni lah saja peluang yang kami ada nak balas jasa mak sementara hayatnya masih ada.

Akhirnya mak kami bawak balik ke rumah, sebab mak kata dia tak nak mati di hospital, dia nak mati di rumah sendiri, nak tengok anak-anak dia, suami dia. Mintak dengan doktor, doktor benarkan. Doktor kata mak dah tak de harapan. Bila mak sampai rumah, suatu keajaiban berlaku, mak mintak makan, kemudian ingatan dia normal semula. Cuma mata dia ja masih kelabu. Dia nak makan, kami bagi semua makanan yg dia suka, apa yang dia sebut kami cari. Kami ambik semua baju baru mak kami pakaikan pada dia. Mak sembang dengan semua orang, mintak maaf dengan semua. Mak terpaksa baring mengiring, sebab perut dia semakin membesar. Lebih kurang seminggu mak kat rumah, mak nazak.

Hari tu pagi sabtu, nafas mak tersekat-sekat... masa tu mak dah dak boleh bercakap, suara dia keluar amat perlahan. Kita kena letak telinga kat mulut dia baru dengar. Tengah hari tu kami dah tak sampai hati lagi tengok mak dalam keadaan tu, seksa sangat, umpama ikan dilempar ke darat. Kami sekeluarga berbincang, tanya pendapat orang tua dan buat keputusan, agaknya hari ni sampailah masa tamatnya penderitaan mak sekian lama. Kami dah tak sanggup tengok mak terseksa lebih lama. Kami adik-beradik dan abah pegi pada mak. Kami minta ampun, minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, minta halal makan minum kami, minta halal air susu yang kami minum. "Mak... emie mintak ampun, mintak maaf segala dosa emie pada mak, dari hujung rambut sampai hujung kaki. emie mintak halal makan minum emie selama ni, emie mintak halal air susu yang emie minum" banyak lagi aku nak sebut pada mak tapi tak terkeluar dari mulut. Ya Allah kenapalah jadi macam ni. Kami kucup dahi mak.... kami cium tapak kaki mak, air mata mak mangalir.

Kami letak adik tepi mak, bagi mak cium adik. Sayunya aku tengok. Air mata mak mengalir bila tengok adik. Kesian adik lepas ni dia dah tak dapat jumpa mak, tak dapat merasa kasih sayang mak. Mak bisikkan sesuatu pada abah. Air mata abah mengalir. Inilah seumur hidup aku nampak abah menangis. Abah kucup dahi mak, kemudian dengan amat terpaksa kami terlentangkan mak. aku terpaksa, kami terpaksa, kami sayangkan mak. Tak nak seksa mak. Tak lama mak sesak nafas. Abah ajar mak mengucap. Allahhuakbar seksanya menuju kematian, Innalillahiwainnahiro-jiun..... ibu tercinta pergi buat selamanya.........

Maaf, setakat ini sahaja sanggup saya tulis kisah ini..... linangan air mata dan Al-Fatihah sebagai noktahnya.

---------------------
INGAT.... IBU KANDUNG HANYA SEORANG SAHAJA DI DUNIA INI, JIKA TIADA. MAKA TIADALAH GANTINYA. SYURGA ITU DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU.

KEPADA MEREKA YANG MASIH MEMPUNYAI PELUANG.... AMBILLAH PELUANG INI, CIUM TANGAN IBU MINTAK AMPUN.
JANGAN TUNGGU HARI RAYA JE...TAKUT TAK SEMPAT.

AKU... HANYA MAMPU MENGUCUP BATU NISAN MAK DI PAGI SYAWAL.
---------------------
bila makan kuih tepung bungkus ... aku akan ceritakan pada wife aku, 'sebab kuih ni la abg boleh pegi sekolah dan kuih ni lah yang membesarkan abg adik beradik

0 comments: