‘Drive Thru’ di HRPZ II atasi kesesakan kawasan hospital

KOTA BHARU - Istilah ‘Drive Thru” sebelum ini sinonim dengan kedai makanan segera, namun kini diperluaskan fungsinya oleh Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II apabila mewujudkan kaunter ubat menggunakan sistem sama.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md. Hasan berkata, sistem mendapat bekalan ubat melalui ‘Drive Thru’ atau pandu lalu itu diperkenalkan pihaknya November lalu sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.

“Kiosk pandu lalu ini disediakan kepada mereka yang mendapatkan rawatan berkala di sini, di mana tidak perlu lagi untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

“Mereka hanya perlu menelefon ke hospital dan membuat temujanji supaya ubat dapat disediakan lebih awal tanpa perlu menunggu di kaunter ubat,” katanya kepada media pada majlis pembukaan Pusat Rawatan Tradisional dan Komplimentari serta penyerahan peralatan perubatan oleh Anggota Lembaga Pelawat HRPZ II, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat hospital berkenaan, Datuk Hilmi Yusof dan ahli jawatankuasanya.

Ghazali berkata, pengedaran ubat menggunakan sistem pos juga disediakan, namun perkhidmatan ini memerlukan pesakit mengeluarkan perbelanjaan sekurang- kurangnya RM5 bagi proses penghantaran.

Sementara itu, mengulas mengenai Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari yang diperkenalkan pada 29 Dis lalu, Ghazali berkata, ia merupakan sebagai satu alternatif kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Ghazali berkata, perkhidmatan yang disediakan secara percuma itu kini hanya memfokuskan kepada urutan dan amalan perubatan tradisional Melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin dan pesakit angin ahmar.

”Bagi rawatan selepas bersalin, perkhidmatan disediakan adalah rawatan kesegaran (urutan dan urutan payudara) dan rawatan perbidanan (urut, bertungku dan bengkung), bagaimanapun pesakit yang bersalin secara pembedahan tidak digalakkan untuk menjalani proses urutan ini,”katanya.

Menurutnya, selain itu, unit yang hanya menerima kes rujukan dan pesakit perlu membawa surat rujukan daripada doktor berkenaan itu juga bakal menyediakan perkhidmatan akupunktur kepada pesakit tidak lama lagi.

Beliau berkata, unit itu juga mempunyai enam tukang urut yang terlatih dan beroperasi pada setiap hari kecuali pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

”Tiga tukang urut ditugaskan etiap sesi iaitu dua perempuan dan seorang lelaki manakala tiga lain sebagai pengganti melakukan rawatan di pusat yang mempunyai tiga bilik urutan itu,” katanya yang turut menjelaskan kira- kira sejam diperuntukkan untuk satu sesi rawatan.