Pesta curi benih kerang

SH: JERAM – Bagaikan pesta di kawasan persisiran berlumpur di Jeram di sini apabila lebih 300 warga asing Myanmar, Indonesia dan Bangladesh menceroboh kawasan berhampiran kebun kerang demi mengutip benih kerang yang mampu dijual dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Lebih dikesalkan, tindakan menceroboh pada siang hari itu seolah-olah mencabar kredibiliti pihak penguatkuasaan kerana berani mencuri secara terang-terangan tanpa menghiraukan kehadiran penduduk dan pemimpin setempat yang turun meninjau.

Ketua Kampung Pekan Jeram, Abdullah Ismail berkata, perkara ini disedari penduduk kampung dan bilangan mereka dilaporkan semakin bertambah di sepanjang laluan pantai .

“Bertindak melalui maklumat, saya bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad melihat sendiri keadaan kawasan perairan pantai dan mendapati warga asing leka mencuri benih kerang berlaku secara terang-terangan tanpa rasa kira-kira jam 10 pagi.

“Saya kesal perkara ini dibiarkan seolah-olah tiada kerja pemantauan dilaksanakan dan jika perkara ini berlarutan, ia hanya akan menjejaskan pendapatan pemilik kebun kerang yang difahamkan lesen masih belum dibuka berikutan saiz benih masih kecil.

“Harga benih kerang yang kecil mencecah ribuan ringgit jika dijual di pasaran gelap di Thailand,” katanya.

Abdullah berkata, kehadiran warga asing yang ramai itu yang dipercayai tiada dokumen diri menimbulkan kebimbangan seolah-olah ini menjadikan kawasan ini mereka tanpa mempedulikan penduduk tempatan.

“Mereka ini dipercayai turun dari Kuala Selangor atau Sekinchan dan mencari benih kerang di sepanjang kawasan pesisiran pantai Kuala Selangor sehingga menghala ke Sungai Janggut tanpa sebarang sekatan.

“Kehadiran mereka ini juga perlu dipantau kerana semakin hari, jumlah mereka semakin ramai dan menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu Dr Dzulkefly menyifatkan pencerobohan itu membuktikan kerja penguatkuasaan lemah dalam membanteras aktiviti itu dari terus berleluasa.

“Saya juga lihat tiada penguatkuasaan dilaksanakan secara berkala menyebabkan warga asing ini mudah sahaja menceroboh dan mencuri benih kerang.

“Saya percaya, pasti ada dalang yang juga orang tempatan di sebalik aktiviti pencerobohan ini kerana difahamkan, setiap kali ada pemantauan atau operasi, mereka ini mudah sahaja lari menyelusup ke kawasan hutan bakau dan kawasan yang berlumpur menyukarkan penangkapan dibuat.

Sinar Harian difahamkan, Pejabat Perikanan Daerah Kuala Selangor sedia maklum dengan isu ini dan meneruskan kerja penguatkuasaan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membendung pencerobohan kebun kerang terbabit.

Namun dimaklumkan, jumlah yang ramai menyukarkan pihak penguat kuasa melaksanakan tindakan sewajarnya memandangkan setiap operasi pemantauan dibuat, penceroboh akan lari masuk ke dalam hutan paya bakau berhampiran untuk menyelamatkan diri.

Menurut sumber, disebabkan kawasan berlumpur dan menyukarkan untuk bot melalui kawasan terbabit, mereka menggunakan peluang itu untuk lari.

“Apabila pihak penguat kuasa beredar ke tempat lain, mereka akan kembali dan meneruskan kerja mencuri.

“Setakat ini tiga individu berjaya ditahan dan mereka tidak mempunyai dokumen diri dan hanya ada pas lawatan sementara menyukarkan siasatan lanjut” katanya.