Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, February 24, 2012

Penyenaraian FGVH: Tindakan ketepikan KPF mengorbankan kepentingan peneroka

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli. — Gambar fail
PETALING JAYA, 23 Feb — PKR menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk mengetepikan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada proses penyenaraian Felda Global Venture Berhad (FGVH) akan mengorbankan kepentingan kakitangan dan peneroka Felda seluruh negara.

Pengarah Strategik parti komponen Pakatan Rakyat itu, Rafizi Ramli berkata hari ini cadangan Pengerusi KPF, Tan Sri Isa Samad untuk menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) bagi menggantikan KPF bagi tujuan penyenaraian akan mengambil alih fungsi KPF secara perlahan-lahan dan tindakan itu jelasnya, bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka serta kakitangan Felda.

"Kerajaan BN memerlukan persetujuan KPF yang menguasai 51 peratus pegangan sahan Felda Holdings Berhad untuk memindahkan keseluruhan pegangan kepada FGVH.

"Jika penyenaraian itu dilakukan tanpa penglibatan Felda Holding, nilai penyenaraian akan menjadi jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 bilion sahaja, bukannya RM21 bilion seperti dicanangkan kerajaan. Ini bermakna, keuntungan penyenaraian akan jauh berkurang dan dividen yang akan diperoleh peneroka adalah jauh lebih rendah.

"Oleh itu, PKR melihat, durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu satu penipuan," tegasnya.

Tambah Rafizi, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi menyiasat dan memastikan tidak berlaku sebarang suntikan aset Felda Holdings yang mencurigakan daripada SPV yang dicadangkan Isa Samad.

"Felda Holdings adalah penyumbang terbesar keuntungan kumpulan Felda, bukan FGVH. Rancangan jahat BN adalah untuk memindahkan syarikat dan aktiviti perladangan Felda Holdings yang dimiliki peneroka dan kakitangan Felda kepada FGVH yang dimiliki kerajaan.

Melalui cara ini, jelas Rafizi, kuasa dan suara peneroka akan berkurang, lebih-lebih lagi apabila kerajaan menjemput pelabur lain untuk membeli saham FGVH.

"Anggaran PKR menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda dalam aktiviti Felda Holdings akan berkurang kepada 42.7 peratus, - daripada 51 peratus pegangan majoriti akan menjadikan mereka pemegang saham minoriti selepas syarikat itu disenaraikan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Felda semalam mengumumkan akan membentuk SPV bagi mengambil alih pegangan majoriti FGVH selepas lapan peneroka menghalang KPF daripada menyuntik aset ke dalam syarikat itu melalui penawaran awam (IPO).

Pengerusi Felda itu berkata, SPV itu akan memelihara kepentingan 112,000 peneroka, malah, beliau turut menyalahkan pembangkang kerana menghasut peneroka menentang penjualan 51 peratus pegangan saham di dalam Felda kepada FGVH.

Bagi menyelesaikan perkara itu, Rafizi berkata, pihaknya sedia bersemuka dengan Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bagi memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

"PKR bersedia membentangkan hujah-hujan dan analisa kenapa penyenaraian ini tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

"Kami ingin melontarkan jemputan debat, ataupun forum kepada mereka untuk membincangkan perkara ini supaya masyarakat Felda jelas akan maksud sebenar penyenaraian ini," katanya lagi.

0 comments: